Cold Storage kembali ke Perak dengan pembukaan cawangan baharu di Sentra Mall Ipoh

LocalBusiness & Finance
11 Dec 2025 • 6:17 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Cold Storage kembali ke Perak dengan pembukaan cawangan baharu di Sentra Mall Ipoh
image is not available
haziq11/12/2025 - 18:17 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Dis – Rangkaian pasar raya premium Cold Storage kembali melebarkan sayapnya di Perak dengan pembukaan rasmi cawangan baharu di Sentra Mall Ipoh.

 

Langkah berkenaan sekali gus menandakan komitmen semula jenama peruncitan tersebut untuk mengukuhkan kehadiran dalam komuniti setempat di negeri wilayah utara itu.

 

Menurutnya, keyakinan terhadap prospek ekonomi dan kepesatan aktiviti pengguna di Ipoh serta Perak terus mendorong kumpulan menambah pelaburan dalam sektor runcit premium.

 

“Pembukaan ini merupakan pencapaian penting dan membuka lembaran baharu bagi Cold Storage di Perak. Syarikat optimis dengan daya tarikan pasaran ini yang kekal rancak dan berpotensi tinggi,” katanya ketika merasmikan pembukaan cawangan terbaharu itu hari ini.

 

Cheah berkata Cold Storage Sentra Mall Ipoh menawarkan pengalaman membeli-belah yang dipertingkatkan menerusi rangkaian produk segar dan premium, termasuk barangan import, susun atur yang dikemas kini serta suasana pasar raya moden bagi memenuhi jangkaan pengguna kelas menengah dan berpendapatan tinggi.

 

“Setiap seksyen disusun teliti untuk memastikan pelanggan menikmati pengalaman beli-belah terbaik,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pemasaran GCH Retail, Andre Lim Jyh Shen berkata pihaknya optimis terhadap momentum positif Cold Storage, disokong kekuatan asas operasi dan pasukan kerja yang semakin bertenaga.

 

Beliau menegaskan tumpuan terhadap kualiti produk dan pemilihan lokasi strategik akan menjadi faktor utama dalam mengembalikan keyakinan pelanggan di Ipoh selepas kemunculan semula jenama itu.

 

“Syarikat berada pada trajektori pertumbuhan yang sihat. Setiap pembukaan kedai baharu memberi peluang untuk kami belajar dan memperkukuh jenama menjadi lebih besar dan berimpak,” katanya.

 

Mengulas cabaran landskap runcit yang semakin kompetitif, Lim berkata Cold Storage memilih pendekatan kembali kepada runcit fizikal berasaskan komuniti, satu strategi yang mengekalkan identiti tradisi jenama itu sambil memenuhi cita rasa pembeli moden.

 

Cold Storage, bawah naungan GCH Retail, dikenali sebagai antara peruncit premium utama di Malaysia dengan penawaran produk import dan hasil segar berkualiti.

 

GCH Retail turut mengendalikan rangkaian pasar raya Giant dan Mercato, yang secara kolektif menyumbang kepada kedudukan kumpulan sebagai pemain utama industri runcit negara. - DagangNews.com

Terkini standard