'Comeback' Azar Azmi Raih Lebih 1 Juta Tontonan, Netizen Sebak Lihat Kemunculan Semula Selepas 7 Tahun

LocalEntertainment
22 May 2026 • 6:41 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Nama pelakon Azar Azmi kembali hangat diperkatakan apabila kemunculan semulanya dalam dunia lakonan selepas tujuh tahun berehat berjaya mencuri perhatian ramai netizen di media sosial.

Azar bakal kembali menghiasi kaca televisyen menerusi drama terbaru berjudul Bulan Henti Bicara terbitan Treputree Production yang akan disiarkan di Astro Ria tidak lama lagi.

Image from: 'Comeback' Azar Azmi Raih Lebih 1 Juta Tontonan, Netizen Sebak Lihat Kemunculan Semula Selepas 7 Tahun

Video kehadiran Azar ke lokasi penggambaran yang dikongsikan oleh Bambam Studios di platform TikTok berjaya meraih lebih 1 juta tontonan dalam tempoh kurang 24 jam selepas dimuat naik.

Menerusi video itu, Azar yang baru tiba di lokasi dilihat seakan-akan gementar untuk keluar daripada kenderaan sebelum dipujuk oleh pengurusnya untuk melangkah turun ke set penggambaran.

Malah, Azar turut dilihat tidak dapat menahan sebak sehingga mengalirkan air mata sebaik sahaja melangkah masuk ke set selepas sekian lama meninggalkan dunia seni. Momen tersebut nyata menyentuh hati ramai peminat.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa rindu terhadap pelakon wanita itu selain mengakui turut tersentuh melihat keadaan Azar. 

Tidak kurang juga yang menyatakan mereka sudah tidak sabar untuk menyaksikan kemunculannya semula di kaca TV.

Image from: 'Comeback' Azar Azmi Raih Lebih 1 Juta Tontonan, Netizen Sebak Lihat Kemunculan Semula Selepas 7 Tahun

Untuk rekod, Azar Azmi sebelum ini cukup dikenali menerusi beberapa drama popular seperti Nur 2, Isteri Misteri, Red Velvet dan Suri Hati Mr Pilot.

Selain Azar, drama Bulan Henti Bicara turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Azhan Rani, Ezzanie Jasny, Ali Reza, Farah Ahmad dan Hushairi Husin.

Dengan sambutan luar biasa yang diterima setakat ini, ramai percaya kemunculan semula Azar Azmi bakal menjadi antara comeback paling dinanti-nantikan dalam industri hiburan tempatan tahun ini. - Getaran, 22 Mei 2026