Pendapatan Dutch Lady kembali pulih bagi FY25 setelah lima tahun berdepan tekanan, kata RHB Research

LocalBusiness & Finance
14 May 2026 • 10:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan Dutch Lady kembali pulih bagi FY25 setelah lima tahun berdepan tekanan, kata RHB Research Image from: Pendapatan Dutch Lady kembali pulih bagi FY25 setelah lima tahun berdepan tekanan, kata RHB Research amree14/05/2026 - 10:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Mei – Selepas lima tahun berdepan tekanan kos, gangguan wabak dan peralihan operasi kilang, Dutch Lady Milk Industries Berhad kini berada di ambang fasa pemulihan pendapatan bagi FY25.


Menurut RHB Research, perkembangan positif tersebut sekali gus membuka ruang penilaian semula saham syarikat berkenaan apabila dijangka mampu mencatatkan hasil lebih kukuh pada tahun kewangan semasa.


Katanya, usaha itu didorong pemindahan ke fasiliti baharu di Bandar Enstek, Negeri Sembilan yang bernilai RM600 juta, selain jangkaan peningkatan dividen susulan kedudukan kewangan semakin baik.


"Dutch Lady kini memasuki kitaran peningkatan pendapatan selepas keuntungan syarikat itu terjejas sepanjang FY20 hingga FY24 akibat kos peralihan kilang dan kesan pandemik," jelasnya dalam nota.


Kilang moden itu bakal menjadi pemacu utama pertumbuhan syarikat menerusi peningkatan kapasiti pengeluaran sehingga dua kali ganda, kecekapan operasi lebih tinggi serta penjimatan kos logistik.


Tambah RHB Research, aliran pengeluaran fasiliti itu turut cukup efisien, di samping pengurangan kebergantungan tinggi kepada gudang luar dan ada manfaat insentif cukai bagi operasi berkaitan.


Firma tersebut berkata, kilang itu juga memperkukuhkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) Dutch Lady, membolehkan ia memperluaskan rangkaian produk susu dan pasaran pengguna.

 

Dutch Lady_DagangNews


"Antara produk baharu yang sudah diperkenalkan termasuk Omega 3*6 dan rangkaian Sip & Seal Packs," ujarnya. Bagi FY25, Dutch Lady mencatatkan hasil RM1.5 bilion, naik 4% disokong pertumbuhan volum.


Selain itu, RHB Research berpandangan yang kumpulan tersebut berpotensi meningkatkan sumbangan eksport yang kini hanya 3% hingga 5% daripada jumlah jualan keseluruhan dalam tempoh sederhana.


Margin keuntungan kasar syarikat berkenaan turut sudah bertambah kepada 29% berbanding tahun kewangan sebelumnya, berikutan faktor kecekapan operasi dan pergerakan pasaran yang lebih baik.


Bagaimanapun jelasnya, keuntungan teras Dutch Lady bagi FY25 susut 11% kepada RM121 juta akibat kadar cukai efektif lebih tinggi dan pelarasan berkaitan isu kadar pertukaran mata wang asing (forex).


"Kedudukan kewangan semakin kukuh selepas ia berjaya mengurangkan hutang dan kembali mencatat kedudukan tunai bersih pada FY25 berbanding hutang bersih RM23 juta pada FY24," kata RHB Research.


Firma itu turut menjangkakan pembayaran dividen kepada semua pemegang saham syarikat tersebut dapat kembali meningkat selepas tamatnya kitaran perbelanjaan modal (capex) yang besar sebelum ini.


Tambahnya, pembayaran dividen 100% mampu memberikan pulangan dividen melebihi 6%, sekali gus menjadikan saham Dutch Lady sebagai lebih menarik kepada pelabur yang mencari pendapatan stabil.


RHB Research menilai sesahamnya dengan nilai wajar antara RM46.40 hingga RM51.60, dan menjangka pertumbuhan hasil konsisten menjadi pemangkin penarafan semula saham syarikat itu. - DagangNews.com

Terkini standard