ConocoPhillips sahkan tarik diri daripada projek cari gali minyak di Sarawak

LocalBusiness & Finance
30 Apr 2025 • 3:55 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

ConocoPhillips sahkan tarik diri daripada projek cari gali minyak di Sarawak

image is not available

30/04/2025 - 15:55

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 30 April — ConocoPhillips mengesahkan menarik diri daripada meneruskan pengendalian medan petroleum di luar pesisir Sarawak dengan alasan keutamaan portfolio syarikat namun tidak menyebut secara khusus mengenai isu Petronas dan Kerajaan Sarawak.


Sebaliknya, firma Amerika Syarikat (AS) tersebut dalam makluman secara ringkas menerusi emel kepada DagangNews.com berkata, tindakan berkenaan adalah lebih kepada faktor dalaman mereka sendiri yang tiada kaitan dengan mana-mana isu.


Bagaimanapun ia tidak mengulas secara khusus berhubung laporan stesen penyiaran Singapura, CNA bahawa penarikan keluar syarikat itu kononnya sebagai berkait dengan isu melibatkan pertikaian antara Petronas dan kerajaan negeri tersebut.


"ConocoPhillips telah memilih untuk tidak memajukan pembangunan projek WL4-00 hanya berdasarkan keutamaan dalam portfolio global syarikat," katanya.


CNA sebelum itu melaporkan syarikat tersebut menarik diri daripada mengendalikan medan minyak dan gas laut dalam Salam-Patawali konon dikatakan sebagai "semakan strategi negara".


Projek itu pada asalnya dimulakan pada 2018 oleh ConocoPhillips dengan Petronas dalam usaha sama 50-50 yang dijangka menelan perbelanjaan sebanyak RM13.7 bilion.


Blok penerokaan Salam-Patawali merangkumi keluasan 300,000 ekar bersih terutamanya di medan Salam dan Benum di luar selatan Sarawak.


Menurut CNA, keputusan ConocoPhillips itu sebahagiannya didorong oleh persekitaran kawal selia tidak menentu yang timbul daripada pertelingkahan antara Petronas dan kerajaan negeri Sarawak pada ketika ini.


Laporan itu memetik dua sumber industri rapat dengan ConocoPhillips yang secara berasingan mengesahkan penarikan tersebut, sambil menambah langkah ini adalah sebahagian daripada "semakan strategi negara", yang tidak dihuraikan oleh syarikat itu.


Eksekutif industri tersebut berkata bahawa ConocoPhillips kini akan memberi tumpuan kepada aktivitinya di negeri jiran, Sabah, yang ia sudah pun beroperasi.


Perkembangan ini berlaku ketika Sarawak terus membida untuk mendapatkan kawalan yang lebih besar ke atas sumber aslinya, dan mencabar monopoli Petronas di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974.


Sarawak menubuhkan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) untuk menuntut hak, memetik peruntukan dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan autonomi negeri berperlembagaan. - DagangNews.com

featured standard