KESEMPATAN bercuti raya memberi ruang kepada Merak Jalanan untuk benar-benar menikmati masa bersama keluarga pada hari yang penuh makna ini.
Jika dahulu, hari raya sering diisi dengan menonton program khas di televisyen selain aktiviti berkunjung-kunjungan dari rumah ke rumah, kini suasana Syawal sedikit berubah mengikut arus zaman.
Media sosial, khususnya TikTok menjadi antara pengisi masa yang semakin popular. Trend mencipta video, mengikuti cabaran atau sekadar merakam detik bersama keluarga sudah menjadi sebahagian aktiviti hari raya.
Merak Jalanan juga tidak terlepas daripada turut terhibur dengan pelbagai trend yang diunggah di media sosial. Ada yang lucu, ada yang kreatif, dan tidak kurang juga yang mencuit hati hingga mampu menghidupkan suasana Syawal dengan cara tersendiri.
Dalam keghairahan mengikuti trend, batas dan adab tetap perlu dijaga. Asalkan tidak berlebihan dan tidak melanggar batas-batas adab serta agama, ia sebenarnya tidak menjadi masalah, malah boleh menjadi salah satu cara untuk memeriahkan lagi suasana Aidilfitri.
Namun menyedihkan apabila ada juga segelintir yang sanggup menularkan pergaduhan dengan ahli keluarga sendiri di media sosial apatah lagi pada tanggal 1 Syawal. Lebih menyedihkan, ia berlaku ketika Syawal yang sepatutnya menjadi bulan bermaafan dan merapatkan hubungan.
Perbuatan sebegini bukan sahaja mencalar imej diri, malah boleh merosakkan keharmonian keluarga yang telah lama terbina.
Justeru, berbaki 27 hari lagi dalam bulan mulia ini, marilah kita kembali menghayati erti sebenar Syawal, mengutamakan kemaafan, menjaga maruah keluarga dan memilih untuk memadamkan sengketa, bukannya menambah luka yang akhirnya merugikan diri sendiri.
