COOP OKB-ANGKASA bergabung, sasar lonjak ekonomi koperasi Kelantan

LocalBusiness & Finance
20 Jul 2026 • 5:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: COOP OKB-ANGKASA bergabung, sasar lonjak ekonomi koperasi Kelantan
Ahmed Tarmize (empat,kiri) bersama Wan Mohamad Zain (lima,kanan) pada majlis memeterai kerjasama strategik COOP OKB bersama ANGKASAdan turut hadir sama ialah wakil daripada Malvest Group serta Solartech Sales & Service Sdn Bhd.

KOTA BHARU – Koperasi Orang Kota Bharu Berhad (COOP OKB) memeterai kerjasama strategik bersama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bagi membuka lebih banyak peluang perniagaan, melahirkan usahawan baharu dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif COOP OKB, Ahmed Tarmize Mohd Yusoff Tuan Padang berkata, kerjasama itu merupakan langkah penting dalam memperkukuhkan peranan koperasi sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi masyarakat.

Menurut beliau, sinergi bersama ANGKASA membolehkan COOP OKB memanfaatkan kepakaran, pengalaman dan rangkaian luas badan induk koperasi itu bagi melaksanakan projek-projek berimpak tinggi.

"Kerjasama ini membuka ruang yang lebih luas kepada COOP OKB untuk memanfaatkan kepakaran, pengalaman dan jaringan ANGKASA dalam membangunkan projek-projek berimpak tinggi.

"Kami yakin melalui sinergi ini, lebih banyak peluang ekonomi dapat diwujudkan, sekali gus meningkatkan pendapatan anggota, membuka peluang pekerjaan dan memperkukuhkan kedudukan koperasi sebagai pemacu pembangunan sosioekonomi masyarakat," katanya pada Isnin.

Sebelum itu beliau ditemui pada Majlis Jalinan Kerjasama yang turut dihadiri Pengerusi ANGKASA, Wan Mohamad Zain Wan Abdullah serta wakil Malvest Group dan Solartech Sales & Service Sdn Bhd.

Ahmed Tarmize berkata, kerjasama strategik berkenaan turut dijangka menjadi pemangkin kepada penyertaan lebih aktif golongan belia dalam sektor koperasi selain melahirkan lebih ramai usahawan baharu.

Ujar beliau, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) juga bakal menikmati manfaat melalui akses kepada rangkaian perniagaan yang lebih luas, pembangunan pasaran serta perkongsian kepakaran.

"COOP OKB yakin kerjasama strategik ini akan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak program dan projek berimpak tinggi yang mampu memperkukuhkan gerakan koperasi, merancakkan aktiviti ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan anggota dan masyarakat secara keseluruhannya," katanya.

Menurut beliau, kerjasama tersebut selari dengan usaha memperkasakan ekosistem koperasi agar terus relevan sebagai antara penyumbang penting kepada pembangunan ekonomi negara, khususnya di Kelantan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved