Kerjasama strategik COOP OKB-UMK: Batik Kelantan sasar tembusi pasaran global

LocalBusiness & Finance
20 Jul 2026 • 12:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kerjasama strategik COOP OKB-UMK: Batik Kelantan sasar tembusi pasaran global
Ahmed Tarmize (dua dari kiri) bersama Nik Izani (empat dari kiri) dan Arham (empat dari kanan) pada majlis jalinan kerjasama strategik COOP OKB dan FTKW-UMK pada Ahad.

KOTA BHARU – Industri batik Kelantan bakal memasuki fasa baharu apabila kepakaran akademik digabungkan dengan pengalaman industri menerusi kerjasama strategik antara Koperasi Orang Kota Bharu Berhad (COOP OKB) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), sekali gus membuka laluan lebih luas untuk produk tempatan menembusi pasaran antarabangsa.

Kerjasama yang dimeterai bersama Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) UMK itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D), malah melibatkan inovasi reka bentuk, pembangunan usahawan, penjenamaan serta pengkomersialan produk batik bagi meningkatkan daya saing industri warisan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif COOP OKB, Ahmed Tarmize Mohd Yusoff Tuan Padang berkata, kerjasama itu menjadi platform penting dalam menghubungkan kepakaran akademik dengan keperluan sebenar industri.

Menurut beliau, batik bukan sekadar warisan budaya, sebaliknya berpotensi menjadi pemacu ekonomi yang mampu menjana pendapatan, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup masyarakat.

"COOP OKB melihat industri batik bukan sekadar warisan budaya, malah sebagai pemacu ekonomi yang mampu menjana pendapatan, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup masyarakat.

"Melalui kerjasama bersama FTKW-UMK, kami yakin penyelidikan dan inovasi dapat diterjemahkan kepada produk bernilai tinggi yang mampu dikomersialkan serta memberi manfaat kepada pengusaha batik, graduan dan komuniti," katanya pada majlis jalinan kerjasama strategik COOP OKB dan FTKW-UMK di sini pada Ahad.

Majlis tersebut dihadiri Pengerusi COOP OKB, Datuk Nik Izani Nik Ibrahim, Naib Canselor UMK, Datuk Dr Arham Abdullah dan Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan UMK, Profesor Madya Dr Raja Iskandar Raja Halid.

Ujar beliau, inisiatif itu juga merupakan usaha memastikan industri batik Kelantan terus berkembang secara mampan serta kekal relevan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Katanya, kerjasama berkenaan merangkumi pelbagai bidang termasuk pembangunan produk batik, inovasi teknologi penghasilan, pemindahan ilmu, latihan kemahiran, pemasaran dan penjenamaan.

"Usaha ini dijangka memperkukuhkan rantaian nilai industri batik Kelantan, meningkatkan produktiviti pengusaha tempatan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada graduan, artisan, belia dan komuniti setempat.

"Malah, ia turut berpotensi melahirkan lebih ramai usahawan batik yang berdaya saing dan mampu menembusi pasaran global," katanya.

Ahmed Tarmize memberitahu, COOP OKB komited menjadi pemangkin pembangunan industri kreatif melalui kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan pemain industri bagi memperkukuhkan ekosistem keusahawanan.

Beliau berkata, gabungan kepakaran akademik, teknologi dan pengalaman industri diyakini mampu membuka lembaran baharu kepada pembangunan industri batik Kelantan sekali gus menjadikan produk tempatan lebih bernilai tinggi, berdaya saing dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved