Corsair Memperkenalkan Meja Boleh-Laras Modular Platform:6

TechnologyDigital
25 Aug 2023 • 3:22 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Meja boleh-laras merupakan sebuah perkakasan yang banyak diperkenalkan kebelakangan ini, dan ia sangat popular di kalangan pekerja dan mereka yang mementingkan postur tulang belakang mereka dan mahu mengurangkan isu sakit belakang.

image is not available

Corsair dilihat memasuki arena ini sekarang dengan penawaran meja boleh-laras dengan beberapa keunikan mereka sendiri, yang dinamakan Corsair Platform:6 Modular. Meja ini dibangunkan khas untuk mereka yang memiliki setup komputer mereka sendiri dan mahukan ruang dan kebolehan untuk mengubahsuai bukan sahaja ketinggian, tetapi aksesori-aksesori pada meja ini.

Meja modular Platform:6 ini hadir dengan lebar sekitar enam kaki (~1.8 meter) dan boleh dipanjangkan lagi dengan tambahan platform sekiranya diperlukan. Ia juga hadir dengan sistem rel terbina yang boleh digunakan untuk menambahkan aksesori seperti tapak untuk paparan dengan konfigurasi satu atau dua monitor yang memudahkan perubahan kedudukan perkakasan tersebut.

image is not available

Seperti banyak meja boleh-laras premium, meja Platform:6 ini hadir dengan motor terbina untuk memudahkan pengubahsuaian ketinggian, dan hadir dengan fungsi memori yang boleh digunakan untuk menetapkan ketinggian kegemaran untuk meja anda.

Dari segi pilihan permukaan meja pula, Corsair mengatakan pengguna boleh memilih untuk mendapatkan permukaan kayu dengan kemasan kacang kenari, kayu getah dan juga permukaan polikarbonat.

image is not available

Selain daripada itu, meja ini juga dilengkapi dengan sistem penyimpanan kabel CORSAIR RapidRoute dan juga dipasangkan dengan palam USB Type-A dan Type-C untuk pengecasan peranti-peranti anda. Anda juga boleh memasang aksesori Elgato Multi-Mount dan Flex Arm untuk memasang pelbagai aksesori seperti lampu, kamera dan mikrofon jika anda seorang penstrim kandungan.

image is not available

Corsair mengatakan bahawa meja boleh-laras Platform:6 Modular ini akan tiba ke pasaran-pasaran terpilih pada suku keempat tahun ini dengan harga yang akan diumumkan kelak. Untuk melihat konfigurasi yang boleh dipilih, anda boleh ke laman web Corsair Plarform:6 Modular.