Jenama fesyen berasaskan London, COS, menyambut ketibaan Ramadan tahun ini dengan pelancaran koleksi pakaian wanita edisi terhad yang eksklusif, disusuli suntingan khas untuk Aidilfitri.

Koleksi yang hanya tersedia untuk wanita ini menampilkan fabrik berlipit (pleats) dalam rona lembut menawan yang mencerminkan suasana penuh makna ketika bersama keluarga dan sahabat handai sepanjang bulan Ramadan.
Direka untuk transisi mudah dari siang ke malam, koleksi Ramadan ini menampilkan palet rona lembut seperti merah jambu samar dan warna-warna neutral yang grounded, membentuk asas gaya yang tenang namun berkarakter.

Potongan ready-to-wear digarap dengan kemasan teliti, memperlihatkan ketelitian rekaan yang menjadi identiti jenama ini.
Daripada potongan berinspirasikan vintaj dengan pinggang berstruktur (cinched waist), hinggalah set padanan dengan lipatan halus yang longgar, setiap satunya praktikal untuk digayakan pada bulan mulia ini.

Gaun berlengan batwing pula memberikan dimensi dramatik yang sofistikated, manakala motif anemon lukisan tangan yang dicetak pada skirt labuh dan selendang sedondon menambahkan kelembutan artisanal yang samar-samar pada koleksi ini.
Bagi melengkapkan musim Syawal, COS memperluaskan tawaran dengan helaian yang sukar dilepaskan. Antara yang membuat hati jatuh cinta ialah gaun labuh linen berlipat dan set double-breasted berstruktur yang menyerlahkan keanggunan.

Tidak ketinggalan kot trench dalam rona khaki yang lebih ideal digayakan untuk percutian ke luar negara yang menjanjikan cuaca lebih dingin. Kot trech klasik ini turut diberi nafas baharu menerusi lengan cuff moden, draping lembut dan panel berperincian halus, menawarkan pendekatan lebih segar, elegan dan praktikal.

Sebagai jenama yang diinspirasikan daripada budaya kontemporari dan dikenali dengan helaian ikonik serta direka untuk tahan lama, pelancaran koleksi Ramadan dan Aidilfitri ini pasti menggembirakan pencinta fesyen yang setia dengan COS.
COS bukan sekadar menawarkan busana perayaan, tetapi satu interpretasi moden tentang keanggunan yang sederhana, tepat pada masanya untuk musim yang penuh refleksi dan kegembiraan. - Getaran, 3 Mac 2026
