
Pasaran telefon boleh lipat global dijangka memasuki fasa baharu pada tahun 2026 dengan peranti jenis buku (book-type) menjadi pemacu utama pertumbuhan. Menurut laporan Counterpoint Research, peranti ini dijangka menyumbang 65% daripada keseluruhan penghantaran telefon pintar boleh lipat pada 2026 di mana ia meningkat daripada 52% pada 2025.

Peralihan ini berlaku kerana pengeluar (OEM) semakin menekankan keuntungan, nilai premium dan keutamaan pengguna terhadap produktiviti. Pasaran kini beralih daripada sekadar tarikan bentuk unik kepada fungsi sebenar yang memberi manfaat praktikal kepada pengguna. Apple dijangka memasuki pasaran telefon pintar boleh lipat pada separuh kedua 2026 dengan model pertama berasaskan reka bentuk jenis buku.

Kehadiran Apple dijangka mengubah corak persaingan dan penerimaan pasaran sekali gus mengukuhkan trend ke arah peranti lipat premium yang menumpukan kepada produktiviti. Dalam ekosistem Android, perubahan ini semakin ketara. Samsung mencapai tahap penting pada tahun 2025 apabila penghantaran Galaxy Z7 Fold melebihi Galaxy Z7 Flip, yang menandakan peralihan kukuh ke arah model jenis buku.

Motorola pula memperkenalkan model jenis buku pertama mereka di CES manakala Google meneruskan komitmen terhadap siri Pixel Fold. Keseluruhan perkembangan ini menunjukkan sokongan meluas terhadap reka bentuk jenis buku, sekali gus mengukuhkan kedudukan reka bentuk tersebut sebagai pilihan utama dalam pasaran telefon pintar boleh lipat.
Menurut penganalisis, fasa awal telefon boleh lipat yang berasaskan keunikan sudah berakhir. Kini fokus beralih kepada nilai guna sebenar seperti multi-tugas dan kesinambungan aplikasi yang lancar. Peranti ini dilihat lebih sesuai memenuhi keperluan ini berbanding model boleh katup yang dianggap sebagai pelengkap dalam gaya. Tahun 2026 dijangka menjadi titik perubahan besar bagi pasaran pintar boleh lipat.

