Country Heights fokus penyelesaian undang-undang, pemulihan aset pacu nilai pemegang saham

LocalBusiness & Finance
15 Dec 2025 • 5:59 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Country Heights fokus penyelesaian undang-undang, pemulihan aset pacu nilai pemegang saham
image is not available
haziq15/12/2025 - 17:59 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Dis – Country Heights Holdings Berhad (Country Heights) menegaskan keutamaan semasa kumpulan adalah menyelesaikan isu perundangan legasi, timbang tara dan pemulihan tunggakan sebagai asas memulihkan nilai aset serta mencapai objektif jangka panjang pemegang saham.

 

Dalam kenyataan hari ini, Country Heights memaklumkan perkara itu dibentangkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-41, dengan penekanan kemajuan dalam penyelesaian undang-undang menjadi pemacu utama hala tuju kumpulan pada fasa ini.

 

Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata tumpuan kepada penyelesaian undang-undang adalah berasaskan hasil dan kepastian.

 

“Pemegang saham melabur dengan objektif dan aspirasi jangka panjang yang jelas. Proses ini bukan soal persepsi atau emosi, ia soal hasil. Apabila perkara ini diselesaikan, objektif pemegang saham boleh dicapai,” katanya.

 

Menurut Country Heights, isu berkaitan Mines Waterfront Business Park (MWBP) timbul daripada prosiding pembubaran yang sedang berjalan. 

 

Sejak awal, kumpulan menegaskan sebarang bukti hutang (POD) yang diterima oleh pelikuidasi akan diselesaikan sepenuhnya berdasarkan dokumentasi undang-undang yang sah, sambil mengekalkan hak untuk mencabar atau menuntut semula bayaran jika tuntutan didapati tidak tepat atau tidak disokong.

 

Pada mesyuarat pemiutang pertama 9 Januari 2024, jumlah POD yang dikemukakan adalah sekitar RM3.8 juta, diikuti bayaran deposit 10% berjumlah RM387,580 kepada Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) pada 5 Februari 2024. 

 

Country Heights berkata tuntutan POD telah diselesaikan mengikut dokumentasi undang-undang dan kewajipan dipenuhi dengan penuh tanggungjawab.

 

Prosiding melibatkan Amy Siew Pitt Wen yang berkaitan MWBP turut menjadi sebahagian proses mahkamah berterusan. 

 

Country Heights berkata tuntutan berkaitan telah ditangani melalui pembayaran dan penyelesaian mengikut rangka kerja undang-undang, sambil meneruskan penglibatan di mahkamah bagi melindungi kepentingan pemegang saham.

 

Prosiding pembubaran ditadbir oleh pelikuidasi dilantik mahkamah daripada Baker Tilly Insolvency PLT, iaitu Kumarkuru a/l Jai Prakash Krishnan dan Andrew Heng. 

 

Country Heights memaklumkan pihaknya telah mengemukakan kebimbangan mengenai beberapa aspek proses, termasuk pelaksanaan Expression of Interest (EOI) tanpa pendedahan penilaian serta isu pematuhan pengawasan kehakiman di bawah Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (Akta 524). 

 

Penjelasan dan justifikasi rasmi telah diminta selaras dengan hak di bawah Akta Syarikat 2016.

 

Bagi aset Borneo Highlands, Country Heights memaklumkan prosiding timbang tara melibatkan Land Custody and Development Authority (LCDA) dan rakan usaha sama terdahulu telah didengar pada Oktober 2025, dan kumpulan kini menunggu keputusan. 

 

Menurut Country Heights, penentuan yang adil dijangka memberi kesan positif kepada nilai aset dan kepentingan jangka panjang pemegang saham.

 

Dalam isu Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC) melibatkan MBSB Bank Berhad, Country Heights berkata prosiding mahkamah sedang berjalan dengan pendengaran ditetapkan pada 16 Disember 2025. 

 

Kumpulan mengesahkan tiada bantahan terhadap harga rizab RM210 juta bagi tujuan pendengaran mahkamah, sambil mengekalkan semua hak di bawah kontrak dan undang-undang.

 

Country Heights menambah perbincangan dengan MBSB diteruskan ke arah penyelesaian yang teratur dan munasabah secara komersial, mengambil kira pendedahan sebenar di bawah RM100 juta, serta kepentingan mengekalkan nilai MIECC tanpa beban tidak perlu.

 

Selari dengan itu, Country Heights berkata tindakan pemulihan terhadap penyewa dan penghutang ingkar dipergiatkan termasuk melibatkan entiti berkaitan 23C/Century, dengan tunggakan sewaan sekitar RM15 juta. 

 

Langkah perundangan dan penguatkuasaan diteruskan bagi memulihkan aliran hasil dan prestasi aset.

 

Menurut Country Heights, inisiatif undang-undang, timbang tara dan pemulihan ini bertujuan menyelesaikan isu legasi secara tuntas, membuka nilai intrinsik aset dan meletakkan kumpulan pada kedudukan lebih kukuh untuk pemulihan dan pertumbuhan mampan.

 

Dalam masa sama, Country Heights berkata ia meneruskan perancangan strategik jangka panjang termasuk penerokaan platform Web 3.0, pengukuhan tawaran pencegahan dan kesejahteraan GHHS Healthcare, serta penjenamaan semula Palace of the Golden Horses melalui pengalaman berasaskan keahlian, sejajar fokus terhadap tadbir urus, integriti aset dan nilai pemegang saham jangka panjang. - DagangNews.com

Terkini standard