liza01/07/2026 - 09:14 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 1 Julai – Critical Holdings Berhad memperoleh kontrak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) bernilai RM772.49 juta bagi pembangunan sebuah fasiliti industri berteknologi tinggi di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, kontrak tersebut dianugerahkan oleh sebuah syarikat multinasional berpangkalan di Amerika Syarikat yang membekalkan peralatan serta perkhidmatan fabrikasi wafer kepada industri semikonduktor, namun identiti pelanggan itu tidak didedahkan.
Menurutnya, skop kontrak merangkumi pembangunan sebuah fasiliti industri berteknologi tinggi yang menggabungkan sistem gudang automatik (ASRS) serta infrastruktur sokongan.
“Kerja-kerja pembinaan telah bermula pada 15 Jun 2026 dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 15 Disember 2027.
“Kontrak tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027 dan 30 Jun 2028 sepanjang tempoh pelaksanaannya.
"Kumpulan tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa selain risiko operasi biasa yang berkaitan dengan pelaksanaan kontrak ini," katanya.
Critical Holdings merupakan penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal, elektrikal dan utiliti proses yang memberi tumpuan kepada projek berteknologi tinggi, khususnya dalam industri semikonduktor dan pusat data.
Penganugerahan kontrak itu mengukuhkan lagi kedudukan Critical Holdings dalam sektor pembinaan fasiliti berteknologi tinggi yang semakin berkembang, didorong oleh peningkatan pelaburan dalam industri semikonduktor di Malaysia.
Fasiliti yang bakal dibangunkan itu dijangka menyokong operasi pelanggan menerusi penggunaan sistem gudang ASRS yang meningkatkan kecekapan penyimpanan dan pengendalian bahan dalam persekitaran pembuatan berteknologi tinggi.
Taman Teknologi Tinggi Kulim kekal sebagai antara hab utama industri semikonduktor negara dengan menarik pelaburan syarikat teknologi global serta memperkukuh rantaian bekalan sektor berkenaan. - DagangNews.com





