liza01/07/2026 - 12:54 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 1 Julai – Binastra Corporation Berhad meraih kontrak pembinaan sebuah pusat data bernilai RM491.16 juta daripada Exsim Sri Permai Sdn Bhd yang mengukuhkan lagi kedudukan kumpulan itu dalam segmen pembinaan infrastruktur digital yang semakin berkembang di Malaysia.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Binastra berkata kontrak tersebut diterima menerusi anak syarikat milik penuhnya, Binastra Builders Sdn Bhd selepas menerima surat penganugerahan bertarikh 1 Julai 2026 daripada Exsim Sri Permai.
“Kontrak itu melibatkan cadangan pembangunan sebuah pusat data di Jalan Sri Permaisuri, Kuala Lumpur dengan nilai keseluruhan RM491.155 juta, termasuk peruntukan sementara (prime cost sum) sebanyak RM16.155 juta, tidak termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
“Projek tersebut akan bermula pada 1 Julai 2026 dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan dari tarikh pelaksanaannya.
“Skop kerja ini meliputi reka bentuk, pembinaan dan penyiapan projek, termasuk ujian serta pentauliahan. Ia juga merangkumi kerja penyelenggaraan dan jaminan selepas projek siap, secara konsep siap bina,” katanya.
Pembangunan itu melibatkan pembinaan sebuah bangunan pusat data setinggi tujuh tingkat, sebuah pondok pengawal, sebuah bilik sampah dan sebuah pencawang elektrik, termasuk kerja-kerja asas, struktur bawah tanah, bangunan utama serta infrastruktur berkaitan.
Menurut Binastra, kontrak tersebut dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pendapatan kumpulan sepanjang dua tahun kewangan akan datang menerusi sumbangan hasil daripada pelaksanaan projek berkenaan.
Kumpulan itu berkata, kontrak berkenaan dijangka memberikan sumbangan positif kepada pendapatan serta aset bersih sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2027 (FY2027) dan 31 Januari 2028 (FY2028).
Bagaimanapun, syarikat menjelaskan penerimaan kontrak tersebut tidak memberi sebarang kesan terhadap modal saham terbitan Binastra.
Dalam pada itu, Binastra memaklumkan tiada mana-mana pengarah, pemegang saham utama atau pihak yang mempunyai hubungan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan.
Lembaga Pengarah Binastra berpandangan penerimaan kontrak itu adalah demi kepentingan terbaik syarikat kerana dijangka mengukuhkan prestasi kewangan kumpulan selain memperluaskan penglibatannya dalam pembinaan kemudahan pusat data yang kini menjadi antara segmen paling pesat berkembang. - DagangNews.com





