
Kota Kinabalu: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah Datuk Ir. Ts. Mustapha Sakmud (gambar) kesal dengan kenyataan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengaitkan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan pendekatan Dajal, yang disifatkan berpotensi mengelirukan umat Islam di negeri ini.
Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata, penggunaan istilah keagamaan yang berat bagi mempertikaikan perbezaan strategi politik adalah tidak wajar, lebih-lebih lagi apabila boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, budaya melabel sesama Muslim dengan gambaran buruk hanya kerana perbezaan pendirian politik amat janggal dan sukar diterima rakyat Sabah yang selama ini hidup dalam suasana masyarakat berbilang agama, bangsa dan budaya.
“CSA boleh dibahaskan secara rasional dalam kerangka demokrasi berparlimen tanpa perlu mengheret sentimen agama untuk memburukkan pihak yang berbeza pandangan.
“Namun, apakah apabila hujah politik tidak lagi mencukupi, istilah akhir zaman pula perlu dijadikan senjata?” katanya dalam kenyataan, Rabu, bagi mengulas pendirian Hadi yang menyifatkan CSA sebagai pendekatan ‘Dajjal’ kerana dianggap mengkhianati amanah.
Dalam satu hantaran di media sosial, Hadi berkata CSA merupakan bentuk persetujuan politik di Parlimen yang membolehkan blok pembangkang atau Ahli Parlimen bebas memberikan sokongan bersyarat kepada kerajaan, sekali gus menjadikan kuasa bukan lagi amanah yang wajib ditunaikan kepada semua, sebaliknya sebagai cara untuk terus berkuasa.
Mengulas mengenai akhir zaman dan hadis Rasulullah SAW yang menyebut kemunculan beberapa Dajjal kecil di seluruh dunia sebelum Dajjal besar, Hadi menegaskan bahawa kerajaan wajib menunaikan amanah kepada rakyat secara langsung tanpa perlu membuat ‘aku janji’ terlebih dahulu.
Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar turut mempersoalkan pendirian PAS berhubung pendekatan CSA yang menurutnya pernah dilaksanakan ketika parti itu berada dalam kerajaan.
“Maka, adakah PAS juga Dajal?” katanya sambil menegaskan bahawa perbezaan pandangan politik seharusnya ditangani menerusi perbahasan berasaskan hujah dan fakta, bukannya penggunaan istilah keagamaan untuk mencetuskan permusuhan.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Sabah supaya terus mempertahankan keharmonian dan perpaduan negeri serta menolak budaya politik yang memperalatkan agama demi kepentingan kuasa.
“Agama sepatutnya menyatukan, bukan memecahbelahkan. Sabah tidak perlu diajar tentang perpaduan oleh mereka yang masih gemar melabel sesama sendiri.
“Sepatutnya kita mencari titik persamaan dalam menjaga keharmonian masyarakat, di samping saling menghormati perbezaan antara kita,” katanya.
Kerajaan baru-baru ini menandatangani CSA dengan 13 Ahli Parlimen, termasuk enam daripada Bersatu yang setia kepada presiden parti itu Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Turut menandatangani CSA ialah Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta enam Ahli Parlimen bebas yang memenangi kerusi masing-masing atas tiket Bersatu, namun lebih awal menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebagai balasan, Ahli Parlimen terbabit akan menerima peruntukan pembangunan kawasan (CDF) pada kadar sama seperti Ahli Parlimen penyokong kerajaan.
Mereka juga berkewajipan menyokong pentadbiran Anwar sehingga tamat penggal Parlimen semasa serta menyokong Belanjawan 2027.
Antara perincian CSA ialah memastikan usaha kerajaan meluluskan Belanjawan 2027 berjalan lancar, selain memudahkan cadangan pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh seseorang memegang jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal.
Butiran lain termasuk komitmen Putrajaya untuk membentangkan satu lagi pindaan Perlembagaan bagi memisahkan peranan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya.
Sejak kebelakangan ini, pembangkang mengemukakan naratif bahawa Anwar semakin kehilangan sokongan dan majoriti di Dewan Rakyat susulan persefahaman yang dimeterai Perikatan Nasional (PN), yang kini dikuasai PAS, dengan Barisan Nasional (BN).






