CSC Steel catat peningkatan untung bersih kepada RM17.8 juta pada 2QFY25 dipacu permintaan kukuh

29/08/2025 - 17:38
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 29 Ogos - CSC Steel Holdings Berhad mencatatkan peningkatan untung bersih kepada RM17.8 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) berbanding RM7.2 juta pada suku sama tahun sebelumnya didorong permintaan kukuh dan kelancaran operasi.
Hasil kumpulan bagaimanapun menyusut sedikit kepada RM363.5 juta berbanding RM366 juta pada tahun sebelumnya.
Katanya, hasil bagi suku berkenaan susut disebabkan tekanan berterusan terhadap harga keluli global.
"Keuntungan kumpulan bagaimanapun dipacu kos bahan mentah lebih baik dan pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
"Faktor-faktor ini membantu mengimbangi kesan penurunan hasil dan menyumbang kepeada peningkatan untung bersih," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Untung bersih kumpulan bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2025 (1HFY25) juga naik kepada RM30.4 juta namun hasil bagi tempoh berkenaan susut kepada RM692.1 juta berbanding RM763.5 juta pada 1HFY24.
Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu kekal optimis untuk berdepan cabaran jangka pendek di tengah-tenagh ketidaktentuan global disokong inisiatif strategik dab kekuatan operasi.
Katanya, industri keluli global terus berdepan tekanan makroekonomi ketara pada tahun 2025, termasuk isu lebihan kapasiti yang semakin meningkat, permintaan yang lembap dari China, tekanan tarif berterusan dari Amerika Syarikat (AS), serta persaingan yang semakin sengit di seluruh Asia Tenggara.
"Di peringkat domestik, pengeluar di Malaysia sedang berhadapan dengan tekanan kos yang meningkat disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk jangkaan pelarasan tarif elektrik, peluasan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), caruman wajib pekerja asing kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta pelarasan subsidi bahan api secara berperingkat.
"Perkembangan itu dijangka meningkatkan kos pengeluaran dan mungkin menyumbang kenaikan harga di peringkat hiliran," katanya.
Walaupun kerajaan Malaysia telah memperkenalkan langkah anti-lambakan bagi menggalakkan persaingan yang adil dalam industri keluli, masih terdapat keperluan untuk penambahbaikan lanjut dalam perlindungan perdagangan dan kestabilan dasar.
Katanya, pengukuhan rangka kerja itu boleh mewujudkan situasi yang lebih adil dan menyokong kelestarian jangka panjang sektor keluli tempatan. - DagangNews.com
standard


