Untung bersih TWL naik lebih 5 kali ganda kepada RM36 juta pada FY25 dipacu kos pentadbiran lebih rendah

Business & FinanceProperty
29 Aug 2025 • 4:43 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih TWL naik lebih 5 kali ganda kepada RM36 juta pada FY25 dipacu kos pentadbiran lebih rendah

image is not available

29/08/2025 - 16:43

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Ogos - TWL Holdings Berhad mencatatkan peningkatan untung bersih lebih lima kali ganda kepada RM36 juta pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY25) berbanding RM7.3 juta pada tahun sebelumnya dipacu perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah serta margin keuntungan yang lebih tinggi daripada pembangunan projek perumahan.

Kumpulan itu berkata, hasil bagi suku berkenaan juga naik hampir dua kali ganda kepada RM100 juta berbanding RM51.2 juta pada FY24.

"Peningkatan hasil kumpulan itu juga adalah disebabkan pengambilalihan 51% saham dalam TWL Avenue (Kapar) Sdn Bhd selain turut disumbangkan segmen kilang konkrit serta pembangunan hartanah dan pembinaan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Mengulas mengenai prospek, ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan pertumbuhan pada tahun 2025, dengan kadar pertumbuhan diunjurkan berkembang sehingga 5.0% disokong oleh unjuran makroekonomi yang stabil, kadar pekerjaan yang bertambah baik, permintaan domestik yang kukuh dan pelaburan yang lebih tinggi.

Katanya, peningkatan pendapatan dan keadaan pekerjaan, permintaan terhadap perumahan – terutamanya rumah mampu milik – dijangka terus memberangsangkan.

"Ini terutamanya di kawasan bandar di mana pertumbuhan ekonomi tertumpu dengan lebih banyak infrastruktur dan peluang pekerjaan, sekali gus memberi manfaat kepada segmen pembangunan hartanah kumpulan," katanya.

Bagi menangani isu kemampuan memiliki rumah, kumpulan itu menantikan Kerajaan Malaysia memberikan lebih tumpuan kepada penciptaan pekerjaan dan peluang peningkatan pendapatan.

"Ia akan disokong pelaksanaan berterusan dasar-dasar yang memihak kepada kemampuan bakal pembeli rumah, terutamanya pembeli rumah pertama.

"Sebahagian besar pasaran hartanah kediaman di Malaysia dibentuk oleh profil demografi baharu. Cabaran yang timbul daripada kekurangan pemilikan rumah dalam kalangan golongan muda akan terus mendorong permintaan terhadap hartanah kediaman mampu milik pada tahun 2025/2026," katanya.- DagangNews.com

standard