CTOS dijangka raih semula momentum perniagaan pada 2QFY25 – BIMB Securities

LocalBusiness & Finance
17 Apr 2025 • 4:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CTOS dijangka raih semula momentum perniagaan pada 2QFY25 – BIMB Securities

image is not available

17/04/2025 - 16:20

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 17 April – CTOS Digital Bhd dijangka mencatat prestasi lebih perlahan bagi suku pertama tahun kewangan 2025 (1QFY25), namun pemulihan momentum dijangka bermula seawal 2QFY25, menurut BIMB Securities.

Firma penyelidikan itu berkata, sebarang kelemahan dalam keputusan suku pertama yang berakhir 31 Mac 2025 wajar dianggap sebagai peluang pembelian taktikal oleh pelabur.

"Unjuran kami terhadap CTOS bagi tahun kewangan 2025 kekal positif didorong beberapa pemangkin utama yang dijangka muncul bermula 2QFY25," katanya dalam satu nota kajian.

BIMB Securities menegaskan, permintaan struktur terhadap data kredit kekal kukuh, disokong pengembangan perkhidmatan kewangan digital, peningkatan penyertaan kredit, serta keperluan institusi terhadap analisis risiko.

Keadaan ekonomi di pasaran utama operasi CTOS juga kekal positif, dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan aktiviti perniagaan menunjukkan arah aliran menaik.

"Permintaan terhadap kredit dan seterusnya data kredit dijangka terus meningkat, selari dengan kemajuan keterangkuman kewangan digital dan penggunaan domestik yang berterusan," jelasnya.

Firma penyelidikan itu turut menyatakan, ketidaktentuan politik di Amerika Syarikat, termasuk "risiko Trump" dilihat tidak memberi kesan material terhadap prospek syarikat.

Selain itu, CTOS turut menawarkan hasil dividen yang lebih menarik serta nisbah harga kepada pendapatan (P/E) yang lebih rendah berbanding rakan industri.

Dengan harga saham pada RM1.12, BIMB melihat potensi kenaikan sebanyak 19 peratus.

"Saham CTOS diniagakan pada diskaun 23% berbanding rakan global berdasarkan nisbah harga kepada aliran tunai bebas, walaupun mempunyai pemacu pertumbuhan struktur yang lebih kukuh serta unjuran pulangan ekuiti yang lebih tinggi," kata firma penyelidikan itu.

BIMB Securities juga menasihati pelabur agar tidak terlalu terikat kepada prestasi jangka pendek.

"Pelabur yang hanya menumpukan pada 1QFY25 berisiko terlepas pandang potensi pertumbuhan jangka panjang," katanya.

BIMB mengekalkan saranan "beli" ke atas saham CTOS dengan harga sasaran (TP) RM1.33 sesaham.

Bagi FY24, untung bersih CTOS susut 10% kepada RM106.27 juta walaupun hasil meningkat 16.6% kepada RM304.85 juta.

Bagi 4QFY24, keuntungan merosot 42.2% kepada RM32.39 juta berikutan perbelanjaan cukai yang lebih tinggi, walaupun hasil meningkat kepada RM76.82 juta.

CTOS turut mengisytiharkan dividen interim keempat sebanyak 99 sen sesaham yang akan dibayar pada 30 April ini, menjadikan jumlah dividen bagi FY24 kepada 3.25 sen sesaham berbanding 3.33 sen pada FY23.- DagangNews.com

standard