Cuaca buruk uji ketahanan 20 pasukan Regata Raja Muda Selangor

13 Nov 2026 • 11:05 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Cuaca buruk uji ketahanan 20 pasukan Regata Raja Muda Selangor

KLANG, 13 NOV: Keadaan cuaca yang tidak menentu dijangka menjadi cabaran utama kepada lebih 20 pasukan yang menyertai Regata Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) 2026.

Pengerusi RMSIR Irsyad Ismail berkata kejohanan yang dianggap antara perlumbaan pelayaran paling mencabar di Asia Tenggara itu menuntut tahap ketahanan fizikal dan mental yang tinggi daripada peserta, khususnya ketika mengharungi laluan perlumbaan yang panjang.

“Kami tahu cuaca memang tidak boleh dikawal tetapi satu perkara yang kami tahu, cuaca mesti kurang baik pada penghujung tahun.

“… tetapi cuaca macam ini bukan satu perkara yang menghalang kami untuk meneruskan perlumbaan, sebaliknya memberikan cabaran yang lebih menarik kepada pelayar,” katanya kepada Bernama.

Irsyad berkata edisi kali ini menghimpunkan pasukan daripada pelbagai negara, termasuk Hong Kong, Australia, Thailand, Singapura dan Belgium yang mempunyai pengalaman luas dalam sukan pelayaran.

Beliau berkata perlumbaan selama 10 hari itu bermula dari Pelabuhan Klang sebelum peserta meneruskan pelayaran ke Pulau Pangkor, Pulau Pinang dan Langkawi, dengan sebahagian laluan memerlukan mereka belayar sepanjang malam.

Menurut Irsyad, beliau berharap penganjuran edisi ke-36 dapat terus mengukuhkan reputasi RMSIR sebagai kejohanan pelayaran antarabangsa yang menawarkan pengalaman unik kepada peserta yang mengambil bahagian.

“Saya harapkan semua dapat mengharungi regata ini dengan selamat dan berjaya. Walaupun mereka kalah, memori yang mereka bawa dari sini mesti akan baik dan sentiasa diingati,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved