Cuaca, kenderaan berat bawa lebih muatan punca utama jalan rosak

28 Jun 2025 • 8:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

BACHOK, 28 JUN: Cuaca dan kenderaan berat yang membawa muatan berlebihan dikenal pasti sebagai faktor utama menyumbang kepada kerosakan jalan raya di seluruh negara, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata perkara itu menyebabkan Kementerian Kerja Raya (KKR) memerlukan peruntukan RM4 bilion bagi membaik pulih dan menaik taraf jalan yang rosak di seluruh negara.

Bagaimanapun, beliau berkata kerana kerajaan mempunyai kekangan tertentu KKR hanya menerima kira-kira RM2 bilion setakat ini.

“Oleh itu, kementerian sentiasa berharap akan mendapat peruntukan yang lebih setiap tahun bagi membaik pulih jalan yang rosak kerana ada jalan yang telah ‘berusia’ dan permukaannya perlu diturap semula.

“KKR telah kenal pasti dua faktor yang menyumbang kepada jalan rosak iaitu cuaca terutamanya hujan dan kenderaan berat yang membawa lebih muatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bachok di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata pihaknya sebelum ini ada mencadangkan supaya sebarang kutipan yang dibuat oleh Jabatan Pengangkutan Jalan, termasuk cukai jalan dan saman had laju diserahkan kepada KKR untuk digunakan bagi tujuan membaik pulih jalan rosak.

Beliau berkata perkara berkenaan telah dibangkitkan tetapi masih tiada maklum balas.

“Oleh itu, jika ada cadangan daripada mana-mana pihak untuk menaikkan cukai terhadap kenderaan yang membawa muatan berat, cadangan itu harus diserahkan kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia Law Teik Hua dilaporkan berkata kenaikan cukai itu boleh membantu KKR mengimbangi beban kos baik pulih jalan raya yang dianggarkan mencecah RM4 bilion setahun.

— BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved