
MetMalaysia kata jerebu di Lembah Klang dan Sarawak reda sementara ekoran cuaca lembap, namun berpotensi kembali memandangkan MBD berlangsung hingga September
PUTRAJAYA: Cuaca lembap yang berlaku sejak beberapa hari kebelakangan ini membantu meredakan keadaan jerebu di Lembah Klang dan Sarawak, namun keadaan itu berpotensi untuk kembali dalam masa terdekat.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata cuaca kering dan panas dijangka kembali semula dalam beberapa hari lagi berikutan negara masih berada dalam musim Monsun Barat Daya (MBD) hingga penghujung September.
“Risiko cuaca jerebu masih ada selagi tiupan angin MBD ini belum berakhir,” katanya kepada Bernama.
Mohd Hisham berkata sepanjang MBD, kelembapan udara yang lebih rendah menyebabkan taburan hujan berkurangan dan bilangan hari tanpa hujan meningkat.
Beliau berkata keadaan jerebu yang melanda negara turut diperkukuh oleh perkembangan fenomena El-Niño yang kini berada pada tahap sederhana dan dijangka menjadi sangat kuat pada Oktober hingga Disember ini.
“Gabungan kedua-dua faktor ini menyebabkan atmosfera menjadi lebih kering dan meningkatkan potensi kebakaran hutan serta tanah gambut yang membawa kepada berlakunya jerebu tempatan dan rentas sempadan,” katanya.
Mohd Hisham berkata berdasarkan analisis meteorologi, maklumat titik panas daripada ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC), output pemodelan atmosfera, Malaysian Community Multiscale Air Quality dan analisis trajektori angin, keadaan jerebu di Lembah Klang didapati disebabkan faktor tempatan manakala jerebu yang melanda sebahagian Sarawak turut melibatkan faktor rentas sempadan.
Beliau berkata pemantauan itu disokong melalui imej satelit yang dikeluarkan ASMC serta maklumat cuaca yang dikongsikan negara jiran.
“Analisis model cuaca juga menunjukkan angin bertiup secara konsisten dari kawasan aktiviti titik panas yang banyak di barat Borneo ke arah selatan Sarawak,” katanya.
Setakat pagi ini, lima kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.
Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), Serian merekodkan bacaan tertinggi iaitu 156, diikuti Kuching (154), Sri Aman (152), Samarahan (113) dan Mukah (106).
Sementara itu, sebanyak 58 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan pada tahap sederhana, iaitu antara 51 hingga 100 manakala lima kawasan lagi mencatatkan kualiti udara baik (bawah 50).
Semalam, Bernama melaporkan Mohd Hisham berkata potensi fenomena El Nino mencapai kategori sangat kuat atau El Nino Super antara Oktober dan Disember kini melebihi 90 peratus dan dijangka menjadi antara paling ekstrem pernah direkodkan.
Beliau berkata episod El Nino kuat pada kali ini juga dijangka berlaku bersama dengan fenomena Indian Ocean Dipole positif, yang berkemungkinan menguatkan kesan pengurangan jumlah hujan di rantau ini.






