Jerebu bukan lagi tetamu bermusim

Environment
16 Aug 2026 • 8:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jerebu bukan lagi tetamu bermusim

Apabila cuaca semakin panas, musim kering semakin mencabar dan risiko kebakaran meningkat, jerebu mungkin bukan lagi episod yang datang dan pergi tetapi bayangan baharu perubahan iklim.

Kita mungkin sudah terlalu biasa dengan jerebu. Bila langit kelabu, kita semak Indeks Pencemaran Udara (IPU). Bila bau asap mula menusuk, kita tutup tingkap. Bila bacaan meningkat, kita kurangkan aktiviti luar. Kemudian kita menunggu hujan.

Tetapi bagaimana jika masalahnya bukan lagi sekadar jerebu?

Bagaimana jika jerebu yang sedang melanda Malaysia adalah sebahagian daripada gambaran yang lebih besar? Iklim yang semakin panas, cuaca yang semakin kering dan risiko kebakaran yang semakin sukar dijangka?

Persoalan itu menjadi semakin penting ketika Malaysia kini berdepan dengan episod jerebu semasa, dengan beberapa kawasan merekodkan bacaan API tidak sihat. Pada masa sama, pihak berkuasa meteorologi telah memberi amaran mengenai keadaan lebih panas dan kering yang dikaitkan dengan El Nino, dengan risiko kebakaran hutan, kebakaran tanah gambut dan jerebu yang dijangka meningkat.

Ini bukan sekadar cerita tentang asap. Ini cerita tentang iklim.

Jerebu memang mempunyai banyak punca, termasuk pembakaran terbuka dan kebakaran hutan serta tanah gambut, khususnya di rantau Asia Tenggara. Namun cuaca menentukan sejauh mana api boleh merebak dan berapa lama pencemaran boleh kekal.

Keadaan panas dan kering menyebabkan bahan bakar lebih mudah terbakar, manakala tanah gambut yang semakin kering menjadi lebih mudah terbakar dan boleh menyokong kebakaran yang berpanjangan.

 

Image from: Jerebu bukan lagi tetamu bermusim
DR. NUR AZALINA

Kajian terkini mengenai ekologi kebakaran tanah gambut di Malaysia turut menunjukkan bahawa risiko kebakaran meningkat dengan ketara apabila kelembapan gambut menurun dan paras air tanah jatuh.

Dalam keadaan tertentu, angin pula boleh membawa pencemar merentasi sempadan. Maka, apabila cuaca menjadi lebih panas dan kering, satu percikan api berpotensi menjadi masalah yang jauh lebih besar.

MetMalaysia sebelum ini memberi amaran bahawa pengaruh El Nino boleh membawa keadaan lebih panas dan kering sehingga awal 2027, dengan pengurangan hujan meningkatkan risiko kekurangan air, kebakaran hutan dan tanah gambut serta episod jerebu.

Malaysia juga kini berada dalam musim Monsun Barat Daya, yang secara semula jadi membawa keadaan lebih kering di rantau ini. Gabungan faktor inilah yang menjadikan episod jerebu semasa perlu dilihat dengan lebih serius.

Bukan kerana jerebu itu perkara baharu tetapi kerana latar iklim yang mengiringinya sedang berubah.

Setiap kali jerebu berlaku, perhatian tertumpu kepada satu angka. IPU berapa? Tetapi angka itu hanya memberitahu kita tentang keadaan udara pada satu-satu masa.

Persoalan yang lebih besar ialah mengapa risiko itu berlaku? Siapa yang paling terdedah? Berapa lama keadaan boleh belarutan? Dan yang paling penting, adakah kita mampu menjangka episod seterusnya sebelum ia menjadi krisis?

Jerebu perlu dilihat sebagai isu yang menghubungkan iklim, alam sekitar dan kesihatan manusia. Jerebu bukan berlaku dalam ruang kosong. Apabila kita menggabungkan keadaan panas, kekeringan, risiko kebakaran dan pergerakan asap, kita dapat melihat bahawa isu ini sebenarnya berkait rapat dengan bagaimana kita menghadapi perubahan iklim.

Malaysia tidak boleh hanya membina sistem untuk bertindak apabila jerebu sudah berlaku. Negara perlu bergerak kepada pendekatan anticipate, prepare dan protect. Menjangka risiko, membuat persediaan dan melindungi masyarakat sebelum impak menjadi lebih besar.

Ketahanan iklim bukan bermaksud kita boleh menghalang semua kejadian. Ia bermaksud kita mempunyai sistem yang cukup kuat untuk mengenal pasti risiko lebi awal, melindungi golongan yang terdedah dan memastikan kehidupan masyarakat tidak terganggu secara besar-besaran. Pendekatan itu memerlukan data alam sekitar, ramalan cuaca, pemantauan kebakaran, kualiti udara dan maklumat Kesihatan dilihat secara bersama.

Apabila jerebu datang, kesannya tidak sama kepada semua orang. Bagi kanak-kanak, warga emas, individu yang mempunyai masalah respiratori dan mereka yang bekerja di luar, pencemaran udara boleh membawa risiko yang lebih besar.

Namun terdapat juga kesan yang kurang kelihatan. Sekolah perlu membuat keputusan mengenai aktiviti luar. Pekerja mungkin terpaksa bekerja dalam keadaan udara kurang baik. Komuniti perlu menyesuaikan rutin harian. Sistem kesihatan perlu bersedia menghadapi peningkatan keperluan. Ekonomi turut menerima kesan.

Episod jerebu semasa wajar dilihat sebagai satu bentuk ‘stress test’ terhadap kesiapsiagaan Malaysia menghadapi risiko iklim. Jika kita boleh menjangka kawasan berisiko kebakaran lebih awal, mengenal pasti komuniti paling terdedah dan menghubungkan maklumat cuaca dengan kualiti udara serta risiko kesihatan, kita tidak lagi sekadar menunggu krisis. Kita mula menjangka krisis.

“Persoalannya bukan lagi bila jerebu akan hilang?”

“Persoalannya ialah apa yang sedang kita lakukan sebelum jerebu datang lagi?”

Tetamu yang mungkin semakin kerap mengetuk pintu

Jerebu mungkin masih mempunyai pencetus langsung seperti pembakaran dan kebakaran. Namun iklim menentuksn lstar belakang risikonyaApabila keadaan menjadi lebih panas dan kering, tanah menjadi lebih mudah terbakar dan musim kering menjadi lebih mencabar ruang untuk kesilapan menjadi semakin kecil.

Sebab itu jerebu tidak boleh lagi dilihat sebagai tetamu yang muncul setiap beberapa tahun dan kemudian dilupakan. Ia mungkin merupakan salah satu amaran awal bahawa kita sedang memasuki era risiko iklim yang berbeza.

Penulis merupakan Ketua Pusat Ketahanan dan Strategi Iklim MSU

The post Jerebu bukan lagi tetamu bermusim appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved