Cuaca panas: Air empangan Timah Tasoh mampu bertahan 81 hari

LocalEnvironment
26 Mar 2026 • 10:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Jalan lama di Empangan Tasik Timah Tasoh di Padang Besar kembali muncul susulan penyusutan paras air akibat cuaca panas berpanjangan. FOTO: Bernama

KANGAR - Takungan air Empangan Timah Tasoh, Beseri di Padang Besar dianggarkan mampu bertahan 81 hari lagi sekiranya masih tiada hujan dan cuaca panas berterusan di Perlis.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis Amir Budiman Abdullah berkata, bacaan paras air empangan itu pada pagi tadi merekodkan 26.72 meter yang dikategorikan sebagai belum kritikal pada masa ini.

"Nasihat kepada pengguna air ketika ini adalah supaya semua orang di Perlis tidak kira sektor mana sekali pun hendaklah berjimat cermat menggunakan air dan tidak membazir, hanya guna pada perkara yang sangat perlu sahaja," katanya ringkas kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp pada Khamis. 

Sementara itu, menerusi Facebook rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), kemas kini status cuaca panas setakat 4 petang pada Khamis, terdapat lima kawasan di Semenanjung Malaysia berada pada Tahap 2 (Gelombang Haba) termasuk Perlis.

Terdahulu, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menunaikan solat sunat Al-Istisqa’ bagi memohon hujan bersama hampir 1,000 jemaah terdiri daripada pemimpin dan rakyat negeri itu di Dataran Istiadat, Istana Arau, di Arau pagi tadi. - Bernama