Cuaca panas dan kering dijangka berlarutan hingga 31 Januari - MetMalaysia

LocalEnvironment
25 Jan 2026 • 1:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Keadaan cuaca panas dan kering dijangka terus melanda sebahagian besar kawasan di Semenanjung Malaysia, khususnya di negeri-negeri utara, sehingga 31 Januari ini.

SHAH ALAM - Keadaan cuaca panas dan kering dijangka terus melanda sebahagian besar kawasan di Semenanjung Malaysia, khususnya di negeri-negeri utara, sehingga 31 Januari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan penelitian terhadap beberapa model ramalan cuaca yang sedang digunakan oleh pihaknya.

Katanya, analisis model ramalan cuaca menunjukkan suhu maksimum di sesetengah kawasan dijangka boleh mencecah 34 darjah Celsius dalam tempoh berkenaan.

Menurut beliau, dalam tempoh sama, sistem penumpuan angin dijangka mula terbentuk di Sabah, Labuan dan Sarawak bermula 29 Januari hingga 31 Januari.

“Fenomena ini berpotensi mencetuskan ribut petir yang disertai hujan lebat dan berpanjangan di kawasan-kawasan terbabit,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi METMalaysia, saluran media sosial jabatan berkenaan serta aplikasi myCuaca bagi memastikan maklumat yang diterima adalah tepat dan sahih.