KUALA TERENGGANU – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Terengganu merekodkan tangkapan lebih 600 ekor ular dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini bermula Januari hingga Mac ekoran fenomena cuaca panas yang melanda negeri ini.
Pegawai APM Daerah Kuala Terengganu, Mejar (PA) Muhammad Hanafi Hamdzah berkata, peningkatan kes tangkapan reptilia berkenaan termasuk spesies berbisa merupakan situasi yang sering berlaku saban tahun setiap kali tibanya musim panas dan kering.
"Sebanyak 632 ekor ular berjaya ditangkap dalam tempoh tersebut berbanding 556 ekor bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.
"Peningkatan itu dipengaruhi beberapa faktor utama antaranya keadaan cuaca panas yang memaksa reptilia berkenaan mencari tempat perlindungan yang lebih sejuk," katanya.
Selain itu, katanya, faktor habitat asal yang diteroka turut mendorong haiwan berbisa tersebut memasuki kawasan kediaman penduduk untuk berlindung.
Jelas beliau, spesies yang paling banyak ditangkap adalah ular tedung selar, ular senduk dan ular sawa batik yang kebiasaannya ditemui di kawasan rumah penduduk, tapak pembinaan serta parit.
"Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada dengan ancaman ular berbisa dan sentiasa membersihkan kawasan kediaman bagi mengelakkan kehadiran reptilia berkenaan.
"Kita harap masyarakat di luar sana tidak bertindak menangkap sendiri ular yang ditemui sebaliknya segera menghubungi APM atau pihak berkaitan untuk tindakan lanjut," ujarnya.


