Cuaca panas: Rakyat Kelantan diminta awasi anak elak strok haba

LocalHealth & Fitness
26 Mar 2026 • 12:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Rohani (kiri) melayan tetamu yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Kota Bharu Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Mas di Kota Bharu pada Khamis.

KOTA BHARU – Rakyat Kelantan diminta mengawasi anak-anak mereka sepanjang sambutan Aidilfitri ekoran cuaca panas yang dijangka melanda dalam tempoh terdekat susulan fenomena El Nino.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Rohani Ibrahim berkata, ia bagi mengelakkan risiko strok haba sekiranya terdedah kepada cuaca panas dalam tempoh yang lama.

"Kebetulan Aidilfitri kali ini kita berada dalam fasa cuaca panas yang dijangka berlarutan, jadi aspek kesihatan perlu diberi perhatian serius.

"Ibu bapa khususnya perlu mengawal pergerakan anak-anak agar tidak terlalu lama berada di luar rumah bagi mengelakkan risiko strok haba," katanya kepada pemberita semasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Kota Bharu Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Mas di sini pada Khamis.

Beliau berkata, berdasarkan jangkaan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), fenomena tersebut dijangka berlaku dalam masa sebulan hingga dua bulan lagi.

Katanya, situasi itu memerlukan ibu bapa mengambil langkah proaktif bagi menjaga kesihatan diri dan keluarga.

Dalam masa sama, beliau turut menggesa orang ramai supaya lebih peka terhadap risiko kebakaran yang boleh berlaku akibat cuaca panas.

Ujarnya, keadaan cuaca kering dan suhu tinggi boleh menjadi faktor penyumbang kepada kejadian kebakaran sekiranya langkah pencegahan tidak diambil.

"Kita minta rakyat supaya lebih peka kerana dalam keadaan tertentu, cuaca panas juga boleh menyebabkan kebakaran berlaku tanpa disedari, jadi semua pihak perlu lebih bertanggungjawab dan segera bertindak jika melihat kejadian tersebut," katanya.

Beliau berharap orang ramai tidak mengambil ringan situasi cuaca panas yang sedang berlaku dan sentiasa mengutamakan keselamatan serta kesihatan sepanjang musim perayaan ini.