
Cuaca Panas Tahap Berjaga-Jaga Di 5 Kawasan Semenanjung – METMalaysia
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam satu kenyataan hari ini mengeluarkan amaran Cuaca Panas Tahap 1 (berjaga-jaga) di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia selama tiga hari berturut-turut.
Menurut METMalaysia, kawasan berkenaan termasuklah (Larut & Matang) Perak, (Gombak dan Petaling) Selangor, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan (Maran) Pahang.
Difahamkan, suhu maksimum harian boleh mencecah antara 35 hingga 37 darjah Celsius di lokasi berkenaan.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan yang dinyatakan dinasihatkan supaya berwaspada dengan perubahan cuaca yang mendadak ini dan memastikan keselamatan diri serta keluarga terjamin.
Orang ramai juga dinasihatkan agar mengelakkan aktiviti luar dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai amaran cuaca daripada pihak METMalaysia melalui saluran rasmi.
Langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengurangkan risiko sebarang kejadian tidak diingini akibat cuaca buruk yang diramalkan melanda kawasan-kawasan tersebut.
METMalaysia Keluarkan Nasihat Ribut Tropika Trami
Sebelum ini, METMalaysia memaklumkan ribut tropika Trami yang dikesan berlaku 1,281 kilometer (km) ke Timur Laut Kudat menyebabkan hujan berterusan dan angin kencang berlaku di Sabah.
METMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan ribut tropika itu terjadi pada kedudukan latitud 15.7 utara dan longitud 124.4 timur, kira-kira 395 km ke Timur Laut Manila, Filipina.
Berdasarkan pencerapan pada 8 pagi, MetMalaysia memaklumkan ribut tropika berkenaan bergerak ke arah Barat Laut dengan kelajuan 20 km sejam (km/j) dan boleh mencapai maksimum 83 km/j.
Menurut MetMalaysia, selain hujan dan angin kencang yang berterusan, keadaan laut bergelora juga akan berlaku di kawasan perairan Laut China Selatan dan Laut Sulu.
Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia
The post Cuaca Panas Tahap Berjaga-Jaga Di 5 Kawasan Semenanjung – METMalaysia appeared first on Siakap Keli.


