Cuaca sama, jerebu sama, tapi keharmonian Malaysia jadi pilihan pelabur – Anwar

LocalBusiness & Finance
24 Oct 2026 • 4:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Cuaca sama, jerebu sama, tapi keharmonian Malaysia jadi pilihan pelabur – Anwar
Anwar ketika berucap melancarkan Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 di Melaka pada Sabtu.

MELAKA – Kestabilan politik dan keharmonian masyarakat berbilang kaum serta agama menjadi antara kekuatan Malaysia dalam menarik pelabur berbanding negara lain di rantau ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keamanan yang dinikmati negara meskipun rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama menjadi kelebihan dalam meyakinkan pelabur.

“Mengapa sesetengah negara dapat menarik pelaburan, sedangkan sesetengah negara lain tidak? Keadaannya sama, cuacanya sama. Sama-sama kena jerebu.

“Sebab negara ini pelbagai kaum, pelbagai agama, tetapi hidup dengan aman. Kita berbeza, tetapi tidak bermusuh dan saling menghormati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30) di pekarangan Kompleks Sukan Hang Jebat di sini pada Sabtu.

Menurutnya, keyakinan pelabur terhadap kerajaan turut terjejas sekiranya pemimpin politik terus bersengketa sehingga menimbulkan ketidaktentuan dalam negara.

“Kalau kita ada pelaburan, tetapi orang tidak yakin dengan kerajaan ini, jika pimpinan asyik bergaduh, pelabur tidak akan berminat untuk datang,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, seorang pelabur yang disifatkannya antara terbesar di dunia telah memaklumkan menerusi sidang video pada Selasa lalu mengenai pemilihan Sarawak, khususnya Kuching, serta Semenanjung Malaysia bagi pembangunan pelaburan dalam bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi baharu dan pusat data.

Beliau menyebut nilai pelaburan berkenaan sebanyak AS$50 bilion (RM204 bilion), namun status pemuktamadannya tidak diperincikan dalam kenyataan itu.

Katanya, pelaburan dalam sektor berkenaan berpotensi membuka peluang pekerjaan baharu yang lebih baik, khususnya kepada golongan muda.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan kerajaan akan terus mengutamakan kebajikan rakyat dengan memastikan beban ekonomi tidak dipindahkan kepada mereka, khususnya ibu bapa.

Beliau turut memuji pendekatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang proaktif melaksanakan program bagi membantu rakyat di peringkat akar umbi, termasuk di kawasan bandar, desa dan pedalaman.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved