Cuba Ambil Madu Dari Pokok, Lelaki Maut Disengat Lebah 

25 Oct 2026 • 8:10 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Cuba Ambil Madu Dari Pokok, Lelaki Maut Disengat Lebah 

KEMAMAN - Seorang lelaki berusia 40 tahun maut selepas diserang sekumpulan lebah ketika cuba mengambil madu dari sebatang pokok di Batu 18, Jalan Air Putih, di sini, semalam.

Mangsa, Hafizul Mat Nor, dilaporkan disengat lebah kira-kira jam 9.50 pagi ketika memanjat pokok berkenaan untuk mendapatkan madu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli, berkata mangsa sebelum itu meminta seorang rakannya yang berusia 44 tahun untuk menemaninya melakukan aktiviti berkenaan.

Bagaimanapun, rakannya telah menasihati mangsa supaya tidak meneruskan hasrat itu kerana pokok berkenaan terlalu tinggi.

Menurut beliau, mangsa tetap mengambil keputusan untuk memanjat pokok tersebut sebelum sekumpulan lebah tiba-tiba menyerangnya.

“Ketika sedang memanjat pokok, mangsa secara tiba-tiba diserang sekumpulan lebah. Mangsa sempat menjerit meminta rakannya melarikan diri untuk menyelamatkan diri.

“Mangsa kemudian cuba turun dari pokok bagi mengelakkan serangan itu sebelum kedua-duanya berlari menyelamatkan diri dan berlindung di dalam sebuah takungan air di kawasan ladang berhampiran,” katanya.

Mohd Razi berkata, mangsa selepas itu mengadu mengalami kesakitan pada bahagian tangan dan kaki akibat sengatan lebah sebelum keluar dari takungan air berkenaan lalu rebah.

Rakannya cuba menyedarkan mangsa, namun mendapati lelaki itu tidak sedarkan diri dan mengalami sawan sebelum segera menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan.

“Mangsa kemudian dibawa dengan ambulans ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan pada jam 6.42 petang,” katanya. - Getaran, 25 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved