Cuba rampasan kuasa dengan bantuan Warisan bukan sesuatu yang patut dibanggakan: PGRS

LocalPolitics
8 Sep 2025 • 1:04 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Umno Sabah tidak berhak bercakap mengenai maruah sedangkan tindakannya sejak lima tahun kebelakangan ini adalah sebaliknya, kata Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS).

Ketua PGRS Moyog Datuk Ceasar Mandela Malakun berkata Ketua Umno Sabah Datuk Bung Mokhtar Radin sepatutnya berhenti mempertahankan tindakan “Langkah Kinabalu” untuk menjatuhkan pentadbiran Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sebagai sesuatu yang patut dibanggakan.

“Jika Bung, yang ketika itu Timbalan Ketua Menteri (I) percaya kepimpinan Hajiji tidak mencapai tahap yang sepatutnya, langkah yang bermaruah ialah membawa usul undi tidak percaya seawal mungkin di Dewan Undangan Negeri (Dun).

“Memandangkan Speaker juga daripada Umno, tidaklah sukar untuk menguji Hajiji di hadapan semua YB,” katanya.

Mandela berkata apabila Umno Sabah membuat perjanjian dengan gabungan GRS dan PBS untuk menentang Warisan dan PH pada 2020, Umno menunjukkan bahawa mereka tidak akan pernah berpuas hati dengan apa yang telah dipersetujui.

“BN-Umno diberi 27 kerusi untuk ditandingi dan mereka bersetuju. Tetapi pada hari penamaan calon, mereka meletakkan 41 calon.

“Kami biarkan sahaja kerana kerosakan sudah berlaku. Mujurlah, kami berjaya menewaskan Warisan.

“Tetapi, tidak lama selepas itu Bung yang telah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri (I) merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan terus membuat kecoh sebaik sahaja keluar dari Istana, mendakwa bahawa beliau sepatutnya dilantik sebagai Menteri Kerja Raya seperti yang ‘dijanjikan’.

“Secara konvensyen, pelantikan ke Kabinet Negeri atau Kabinet Persekutuan di seluruh dunia adalah hak mutlak Ketua Menteri atau Perdana Menteri/Presiden.

“Tetapi Bung beranggapan bahawa Kementerian Kerja Raya lebih ‘bergaya’ daripada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

“Timbalan Presiden PGRS Datuk Seri Masidi Manjun terpaksa bertukar portfolio dengan Bung dan beliau tidak pernah memperbesarkan hal itu sehingga hari ini,” kata Mandela.

“Selain itu, jawatan dalam kerajaan diberikan untuk berkhidmat kepada rakyat, bukannya untuk mencari kemegahan diri. Ada seorang Menteri Kanan khususnya jarang menghadiri mesyuarat Kabinet.

“Ini banyak menceritakan sama ada beliau benar-benar ikhlas berkhidmat untuk rakyat.”Katanya Hajiji bersetuju dengan pertukaran portfolio antara Bung dan Masidi demi menjaga keharmonian kerana pentadbiran baharu baru sahaja dibentuk dan banyak perkara perlu dilakukan untuk meringankan penderitaan rakyat Sabah ketika puncak pandemik Covid-19.

“Tetapi Bung menganggap pandangan jauh Hajiji itu sebagai kelemahan dan mula menuntut lebih banyak lagi. Saya percaya Bung dan kumpulannya mahukan juga jawatan Menteri Kewangan.

“Selepas gagal mendapat jawatan itu, Bung dan kumpulannya memutuskan untuk melancarkan rampasan kuasa dengan bantuan Parti Warisan.

“Mujurlah ada beberapa YB Umno yang enggan menjadi sebahagian daripada perancangan besar Bung dan bersama dengan sokongan penuh YB Pakatan Harapan, Sabah akhirnya terselamat,” katanya.

Mandela turut berkata sekiranya Hajiji benar-benar menipu Umno Sabah seperti didakwa oleh Bung maka Umno Sabah tidak mungkin mempunyai tiga menteri penuh dalam Kabinet, ramai Pembantu Menteri serta sejumlah besar pemimpin dan ahlinya memegang jawatan pengerusi dalam GLC penting seperti Qhazanah Sabah Bhd.

“Langkah Kinabalu Bung yang gagal sebenarnya menjadi rahmat tersembunyi kerana selepas beliau keluar, GRS dan PH berjaya membawa kestabilan politik yang amat diperlukan di Sabah, sekali gus menarik berbilion pelaburan asing dan mewujudkan ribuan pekerjaan,” katanya.

Mandela berkata dengan pilihan raya negeri yang semakin hampir, GRS dan PH kini boleh berdepan BN-Umno, Warisan dan parti-parti lain tanpa perlu bimbang dikhianati lagi.

Katanya, Bung mungkin cuba memuliakan tindakannya namun rakyat Sabah, sama ada di bandar atau luar bandar, tetap tahu membezakan pengkhianatan apabila melihatnya.

“Dalam pilihan raya akan datang rakyat Sabah akan menentukan sama ada mahu mempertaruhkan masa depan mereka atau terus menaruh keyakinan kepada GRS dan PH,” katanya.

Mandela berkata Hajiji telah membuktikan ciri kepimpinannya dengan melaksanakan dasar dan program yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Bantuan yang tidak terkira untuk pelajar termasuk peruntukan besar RM1.3 bilion untuk pendidikan dalam tempoh kira-kira empat tahun lalu membuktikan komitmen Hajiji dalam mendidik anak-anak kita dan mencipta masa depan lebih cerah buat mereka serta keluarga.

“Lebih banyak Rumah Mesra SMJ untuk semua 73 kawasan pilihan raya bagi golongan B40 membuktikan pentadbiran GRS mengambil berat tentang rakyat biasa.

“Pelbagai perjanjian yang ditandatangani dengan syarikat minyak nasional Petronas akan memastikan hasil negeri Sabah terus berkembang dan generasi akan datang turut menikmatinya,” katanya.

Mandela berkata Hajiji juga memastikan masalah air dan jalan raya yang berlarutan lama di Sabah akan berakhir tidak lama lagi melalui langkah jangka panjang yang dilaksanakan.

“Warisan pernah berkuasa lebih dua tahun sebelum GRS mengambil alih tetapi tidak melakukan apa-apa malah kini tanpa segan silu menyalahkan kerajaan sekarang.

“Bung pula pernah menjadi Menteri Kerja Raya Negeri, tetapi apa yang beliau capai? Tiada! Sekarang, apabila Warisan dan Umno berada di luar pentadbiran, tiba-tiba mereka kelihatan ada banyak idea hebat.

“Ia sudah terlambat kerana Hajiji sudah pun melaksanakan usaha untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu rakyat sekian lama.

“Rakyat harus berhati-hati dengan pemimpin yang menentang GRS yang hanya pandai bermain kata untuk menarik perhatian. Kepada masyarakat Cina mereka akan menjanjikan bulan dan bintang.

“Kepada masyarakat KDMR dan bumiputera Islam mereka juga akan menjanjikan perkara yang sama. Kedengaran indah, tetapi hanya untuk memancing undi, tiada yang lain,” katanya.