Cuba rempuh polis, tiga termasuk dua wanita miliki rekod jenayah dicekup

24 May 2026 • 7:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Cuba rempuh polis, tiga termasuk dua wanita miliki rekod jenayah dicekup
Tiga individu termasuk dua wanita yang mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau dan cuba merempuh polis berjaya diberkas pada Sabtu. Gambar hiasan

HULU LANGAT - Tiga individu termasuk dua wanita yang mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau dan cuba merempuh polis berjaya diberkas di Dusun Tua di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira jam 9.30 malam berkenaan mengenai kejadian tersebut.

Sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin telah melepaskan tembakan ketika terancam semasa melakukan tangkapan ke atas suspek yang menaiki sebuah kenderaan di tepi jalan.

Menurutnya, suspek dikatakan cuba merempuh kenderaan polis.

"Semakan rekod suspek pertama didapati mempunyai enam rekod jenayah dan tiga rekod narkotik, suspek kedua mempunyai empat rekod jenayah dan 11 rekod narkotik.

"Sementara suspek ketiga mempunyai enam rekod jenayah dan dua rekod narkotik," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Tambahnya, turut dirampas beberapa unit telefon bimbit dan alat kawalan jauh kenderaan dipercayai terlibat dengan kes yang disiasat di IPD Tampin.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan menghalang penjawat awam," ujarnya.

Jelasnya, pihak polis juga menasihatkan masyarakat untuk segera menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Kawalan Polis Daerah Kajang ditalian 03-89114243 jika melihat atau mempunyai maklumat sebarang perbuatan jenayah atau mencurigakan di kawasan mereka.