Cubaan samun kedai emas di Petaling Jaya gagal, lelaki maut ditembak

LocalPolitics
16 Mar 2026 • 1:26 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 16 MAC: Seorang lelaki yang cuba menyamun sebuah kedai emas di Petaling Jaya maut selepas ditembak pengawal keselamatan dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi tadi.

BH melaporkan, suspek yang bersenjatakan objek tajam dan dipercayai menaiki motosikal datang ke kedai emas berkenaan yang baru dibuka serta tiada pelanggan.

Suspek kemudian dipercayai bergelut dengan seorang pengawal keselamatan sebelum seorang lagi pengawal keselamatan yang menyedari rakannya dicederakan melepaskan dua das tembakan ke arah lelaki berkenaan.

Suspek yang cedera parah dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Bagaimanapun, tiada kehilangan barang kemas dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Setakat ini, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Polis dijangka mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung insiden berkenaan dalam masa terdekat.