
LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menggagalkan penyelewengan 9,000 liter petrol menerusi satu operasi di Jalan POIC pada Isnin.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata Unit Risikan Marin menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah premis di kawasan yang disyaki digunakan untuk menyimpan minyak bersubsidi.
Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 9,000 liter petrol disimpan dalam 17 unit tong plastik pelbagai saiz, lima unit tangki IBCL dan dua unit tangki gentian.
“Semasa operasi dijalankan pasukan itu turut menahan seorang lelaki yang gagal mengemukakan sebarang permit sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Kesemua barang rampasan dianggarkan bernilai RM50,700,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu PPM turut mengalu-alukan maklumat daripada orang awam yang boleh membantu mencegah atau menghalang sebarang aktiviti jenayah.


