
Cubaan Seludup Lexus dan Honda Mewah Kecundang di Tangan Kastam
Cubaan Seludup 2 Kereta Mewah Bernilai RM354K Di Pending Disita Kastam. Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya mematahkan cubaan menyeludup dua kereta mewah bernilai RM354,574.15 dalam operasi yang dijalankan pada 5 Disember lalu. Kereta yang dirampas ialah Honda NSX (NA1) dan Lexus RC300 F-Sport.
Menurut Pengarah Kastam Sarawak, Norizan Yahya, operasi ini melibatkan Pusat Risikan Kastam bersama Unit Operasi Darat, yang bertindak menahan dua kenderaan tersebut di Pelabuhan Pending, Kuching, untuk pemeriksaan lanjut.

Nombor casis berbeza daripada rekod JPJ
“Hasil pemeriksaan mendapati maklumat kenderaan dalam Borang Kastam 3 sepadan dengan Sijil Pemilikan Kenderaan. Namun, semakan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan nombor casis berbeza daripada rekod JPJ,” jelas beliau dalam satu kenyataan.
Kenderaan tersebut telah disita di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 atas dakwaan pelanggaran undang-undang. Norizan menambah bahawa modus operandi melibatkan penyeludupan kenderaan tanpa kastam dengan menggunakan nombor pendaftaran sah milik kenderaan lain untuk mengelirukan pihak berkuasa.
Sebarang maklumat mengenai aktiviti penyeludupan boleh dilaporkan melalui Talian Bebas Tol Kastam di 1-800-88-8855 atau ke pejabat Kastam terdekat. Identiti pemberi maklumat dijamin akan dirahsiakan sepenuhnya.



