Cubaan seludup dadah berlaku hampir setiap hari di KLIA

LocalPolitics
28 Sep 2026 • 6:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Cubaan seludup dadah berlaku hampir setiap hari di KLIA

SEGAMAT: Cubaan menyeludup dadah dikesan berlaku hampir setiap hari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2.

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempa­dan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, majoriti daripada individu yang dikesan terlibat aktif dalam jenayah itu merupakan warganegara asing.

Katanya, perkara itu dikesan pihaknya selepas diamanahkan dengan tugas penyaringan di kedua-dua terminal itu bersama Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB).

“Sebenarnya hampir hari-hari, kalau tak hari-hari pun tiap-tiap minggu kami menahan mereka yang cuba menyeludup bunga ganja keluar daripada negara. Kebanyakan mereka bukan warganegara Malaysia.

“Ini merupakan antara tugas-tugas yang agak mencabar buat AKPS. Di kedua-dua lapangan terbang itu, kami diberikan tiga tugas utama iaitu mengkoordinasi semua saringan secara bersasar, menyelaras semua perihal risikan dan juga tugasan K9 di lapangan terbang antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai AKPS Siri 1/2026 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Segamat, di sini semalam.

Hadir menyempurnakan majlis, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid dan Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad.

Sementara itu, Mohd. Shuhaily turut memberitahu, AKPS telah merekodkan RM265.89 juta nilai rampasan di kese­mua 122 pintu masuk negara sepanjang tahun ini, sekali gus mengelakkan berlaku ketirisan dalam negara.

“Jumlah ini peningkatan kira-kira tiga kali ganda berbanding nilai RM80 juta yang direkodkan sepanjang tahun lalu. Antara rampasan utama melibatkan e-waste dan juga dadah.

“Sehubungan itu, kami memerlukan pegawai dan anggota dibantu teknologi terkini untuk memastikan keselamatan di sempadan-sempadan negara kekal selamat dan terjamin,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengakui keperluan untuk AKPS memiliki pusat latihan bersesuaian bagi menangani jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks, licik dan moden.

“Justeru kami perlukan pusat latihan yang setaraf dengan apa yang berlaku. Namun realistik­nya, penubuhan pusat latihan bersesuaian memerlukan per­belanjaan tinggi.

“Jadi saya serahkan perkara itu kepada pihak kerajaan untuk kenal pasti mana-mana institusi atau premis yang tidak dioptimumkan untuk dipindah milik,” katanya. – UTUSAN

The post Cubaan seludup dadah berlaku hampir setiap hari di KLIA appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved