Cubaan seludup dadah RM14.7 juta ke luar negara tumpas, dua wanita ditahan

28 Apr 2026 • 12:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Cubaan seludup dadah RM14.7 juta ke luar negara tumpas, dua wanita ditahan
Shazeli (depan, dua dari kanan) menunjukkan bungkusan mengandungi dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Selasa.

SHAH ALAM – Cubaan menyeludup dadah ke luar negara dibongkar dalam dua operasi berasingan membabitkan rampasan lebih 183 kilogram bunga ganja bernilai RM14.7 juta di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Negeri Sembilan, minggu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi dijalankan dari 21 hingga 23 April itu melibatkan kerjasama antara Polis Selangor dan Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) KLIA.

Menurutnya, dua wanita iaitu seorang warga tempatan dan seorang warga asing telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah untuk pasaran luar negara.

"Dalam kes pertama pada 21 April, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA menahan seorang wanita tempatan berusia 34 tahun di sekitar Mambau, Negeri Sembilan.

"Hasil siasatan membawa kepada serbuan di sebuah premis di Bandar Seri Sendayan dan pemeriksaan menemukan 18 bungkusan berisi 289 paket plastik mengandungi ketulan mampat disyaki bunga ganja seberat 153.7 kilogram," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Selasa.

Katanya, nilai rampasan bagi kes berkenaan dianggarkan RM12.3 juta.

"Suspek yang tidak bekerja itu didapati negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Polis turut menyita sebuah kereta jenis Honda City dan sebuah motosikal XDV250 dengan anggaran nilai keseluruhan RM50,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988," katanya.

Tambah beliau, suspek direman dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengulas kes kedua, beliau berkata, pada 23 April, Polis Bantuan MAHB KLIA mengesan dua bagasi mencurigakan melalui mesin imbasan di terminal lapangan terbang berkenaan.

"Susulan itu, seorang wanita warga asing berusia 24 tahun yang merupakan pemilik bagasi tersebut telah ditahan.

"Pemeriksaan ke atas bagasi menemukan 60 bungkusan plastik berisi ketulan mampat disyaki bunga ganja dengan anggaran berat 30 kilogram," katanya.

Beliau berkata, nilai rampasan bagi kes kedua dianggarkan RM2.4 juta.

"Suspek yang bekerja sebagai pembantu restoran di negara asalnya itu juga didapati negatif dadah serta tidak mempunyai rekod kesalahan di Malaysia.

"Turut disita mata wang asing berjumlah kira-kira RM1,500 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti tersebut," katanya.

Tambahnya, suspek kini direman dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, wanita warga asing berkenaan dipercayai menjadikan Malaysia sebagai lokasi transit sebelum ke negara sasaran.

"Destinasi adalah salah sebuah negara di benua Eropah, berdasarkan rampasan semasa, terdapat permintaan terhadap dadah jenis bunga ganja, namun ia lebih tertumpu kepada pasaran luar negara.

"Wanita tempatan terbabit dipercayai bertindak sebagai antara dalang, manakala wanita warga asing berfungsi sebagai keldai dadah yang menerima upah lumayan selain kos perjalanan ditanggung sindiket," katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan kewujudan aktiviti seumpama itu di Malaysia, namun menegaskan negara ini bukan hab utama bagi sindiket berkenaan.

"Dua kes ini juga tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain dan dipercayai melibatkan sindiket berbeza.

"Wanita warga asing tersebut dipercayai berasal dari negara jiran dan telah berada di Malaysia sejak tahun lalu sebagai transit sebelum ke negara lain," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat sebagai keldai dadah dengan menerima tawaran membawa bagasi atau barangan milik pihak lain tanpa mengetahui kandungannya.