KAJANG – Tindakan sekumpulan individu mencuri kabel gagal apabila disedari penduduk setempat dalam kejadian berhampiran Taman Bukit Mewah di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 4.45 petang Sabtu.
Menurutnya, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 5.15 petang melibatkan tiga lelaki yang identitinya masih belum dikenal pasti.
“Suspek dipercayai menggunakan sebuah kenderaan jenis Perodua Axia berwarna perak ketika sedang memotong kabel yang disyaki milik Telekom Malaysia (TM).
“Bagaimanapun, semua suspek bertindak melarikan diri selepas kegiatan mereka disedari dan ditegur penduduk setempat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, usaha mengesan semula suspek yang terlibat sedang giat dijalankan polis.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Balasundaram Gobal di talian 010-2272724.
“Orang ramai turut dinasihatkan agar segera menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Kawalan Polis Daerah Kajang di talian 03-89114243 sekiranya mempunyai maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah,” katanya.
Terdahulu, tular video di media sosial yang memaparkan beberapa individu dipercayai sedang mencuri kabel di sebuah taman perumahan di sini.
Aksi mereka bagaimanapun disedari penduduk sekitar sebelum kesemua individu terbabit melarikan diri dari lokasi kejadian menaiki sebuah kereta.





