Warga Kemboja Didenda RM3,500 Curi Gaharu Di Taman Botanikal Ayer Keroh

8 May 2026 • 3:00 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Warga Kemboja Didenda RM3,500 Curi Gaharu Di Taman Botanikal Ayer Keroh

MELAKA – Seorang lelaki warga Kemboja didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Jumaat selepas mengaku bersalah mencuri kepingan gaharu di Taman Botanikal Ayer Keroh, Isnin lalu.

Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd Ali Sulaiman, 40, selepas pengakuan bersalah dibuat di hadapan mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi individu yang masih bebas didapati mencuri kepingan isi pokok gaharu milik Hang Tuah Jaya kira-kira jam 1 pagi.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Gaharu Bernilai Tinggi Jadi Sasaran

Tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Amritpal Singh memohon hukuman ringan dikenakan atas alasan pengakuan bersalah tertuduh telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Menurut peguam itu, tertuduh yang bekerja sebagai nelayan turut menanggung dua orang anak.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri memohon hukuman lebih berat dengan mengambil kira kesalahan dilakukan melibatkan pencerobohan harta awam dan hak milik pihak lain.

“Barang yang dicuri ialah kepingan isi pokok gaharu yang mempunyai nilai komersial tinggi dan sukar diperoleh.

“Tindakan tertuduh adalah bagi mendapatkan keuntungan secara tidak sah sedangkan pokok itu ditanam bagi tujuan landskap dan tarikan pelancong.

“Perbuatan itu menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri serta pengunjung yang datang ke taman berkenaan,” katanya.

Menurut laporan Sinar Harian lagi, pihak pendakwaan turut menegaskan hukuman berat perlu dijadikan pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak melakukan perbuatan mencuri harta awam serta merosakkan sumber alam.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,500 atau tujuh bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.

Kereta, Parang Dan Kayu Dirampas

Mahkamah turut memerintahkan semua barang kes diserahkan semula kepada pihak pendakwaan.

Sebelum ini, media melaporkan pegawai hutan yang menjalankan rondaan menemukan sebatang pokok karas atau gaharu dipercayai ditebang secara haram di kawasan taman berkenaan.

Susulan itu, lelaki berstatus penduduk tetap (PR) berusia 40 tahun terbabit berjaya ditahan di kawasan parkir berhampiran lokasi kejadian pada hari sama.

Pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan sebuah kereta Proton Preve berwarna kelabu, sebilah parang bersarung biru, satu karung guni dan lima keping kayu dipercayai daripada pokok yang ditebang. – The Malaysian Update

The post Warga Kemboja Didenda RM3,500 Curi Gaharu Di Taman Botanikal Ayer Keroh appeared first on The Malaysian Update.