Seramai 171 penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK) Cheras disantuni menerusi Program Jalinan Kasih: Akar Budiman, Kasih Bertaut yang menghubungkan mereka dengan generasi muda melalui konsep “cucu angkat”. Program bertemakan “Warga Emas Dihargai, Generasi Disatukan, Kelestarian Diperkasa” ini menggabungkan sumbangan keperluan harian, aktiviti antara generasi dan penanaman untuk menyokong kesejahteraan penghuni.
Tuan Nik Mohd Noor Nik Kar, Ketua Setiausaha Eksekutif Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), menekankan bahawa penghargaan terhadap warga emas tidak seharusnya bermusim, sebaliknya diteruskan melalui perhatian, masa serta sokongan yang konsisten. Semangat ini turut mencerminkan penghayatan integriti apabila nilai yang dipegang diterjemahkan melalui tindakan, termasuk menunaikan tanggungjawab sosial dan menghormati maruah setiap insan.

Sementara itu, Puan Hazleen Hassan, Pengarah Bahagian Warga Emas, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), menekankan bahawa warga emas turut memerlukan persahabatan, peluang berinteraksi dan ruang berkongsi pengalaman selain bantuan material. Beliau berharap hubungan melalui program “cucu angkat” dapat diteruskan secara berkala bagi memperkukuh sokongan sosial kepada penghuni.
Program tanggungjawab sosial korporat anjuran Kelab Kebajikan dan Rekreasi (KKR) EAIC ini dilaksanakan bersama JKM, Cempaka International School (CIS), Damansara Heights dan Universiti Putra Malaysia (UPM), bersempena sambutan Hari Warga Emas peringkat RSK Cheras. Menerusi kerjasama itu, sumbangan barangan dan tunai bernilai RM10,000 disalurkan bagi menyokong keperluan penghuni, termasuk barangan penjagaan diri, makanan dan minuman. Sokongan kepada penghuni turut merangkumi aktiviti Cucu Angkat Bersama Warga RSK yang melibatkan murid CIS. Aktiviti bersama membuka ruang perkongsian pengalaman serta memupuk kasih sayang dan rasa hormat antara generasi.
UPM turut menyumbangkan tanaman untuk rumah hijau RSK dan menyokong aktiviti penghijauan. Pengisian ini memberi peluang kepada penghuni untuk berkebun, dengan hasil tanaman berpotensi menambah bekalan bahan segar untuk makanan harian.
Program turut menerima sokongan Yayasan Tengku Zafrul Aziz (YTZA), SKOP Production, Pejabat Penyelaras Ahli Parlimen Bangi dan Jewel Sonic Sdn. Bhd. Turut hadir ialah Encik Mohd Fauzi Mohd Fadzil, Bendahari Lembaga Pelawat RSK Cheras; Puan Salmiah Salleh, wakil Pengarah JKMN Selangor; Dr. Mohd Rosli Yaacob, Timbalan Dekan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar; Puan Aimi Masdiana Mukhtar, Pengetua Sekolah Antarabangsa Cempaka; Encik Zamzuri Mohamed, Penguasa RSK Cheras serta Puan Teh Mysara Zulkifli, Pengarah Strategi dan Perancangan, YTZA.



