CUEPACS bantah cadangan ambil jururawat Indonesia, utamakan graduan tempatan

LocalPolitics
8 Aug 2025 • 3:37 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Graduan jururawat masih menunggu lantikan tetap

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menolak keras cadangan membawa masuk jururawat dari Indonesia untuk bekerja di hospital-hospital dalam negara.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, langkah itu tidak wajar kerana ramai graduan kejururawatan tempatan masih belum diserap masuk ke sektor awam, malah ada yang menunggu sehingga lapan bulan tanpa sebarang tawaran lantikan tetap atau kontrak.

“Ramai jururawat tempatan lepasan Peningkatan Secara Lantikan (PSL) masih belum dapat kerja. Sepatutnya mereka diberi peluang terlebih dahulu untuk isi kekosongan di hospital kerajaan,” katanya.

Menurut Adnan, pengambilan pekerja asing dalam sektor kesihatan awam juga bercanggah dengan dasar negara yang mengutamakan rakyat tempatan dalam pengisian jawatan perkhidmatan awam.

Baca juga:

CUEPACS bimbang kualiti terjejas jika ambil jururawat luar

Beliau turut menegaskan bahawa tahap latihan dan kualiti jururawat tempatan adalah lebih tinggi kerana melalui sistem piawaian ketat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Sekiranya jururawat dari luar negara diambil tanpa saringan ketat, ia dikhuatiri menjejaskan mutu rawatan kepada pesakit.

“Kalau ambil jururawat luar yang tidak ikut standard KKM, mutu perkhidmatan kesihatan kita mungkin terjejas,” tegas beliau.

Graduan tempatan perlu diutamakan | Gambar hiasan

Sebagai alternatif, CUEPACS mencadangkan agar KKM mempercepatkan proses pelantikan graduan tempatan, menambah kapasiti latihan jururawat baharu, memperluas peluang kenaikan menerusi PSL serta meningkatkan insentif dan kebajikan jururawat sedia ada.

Adnan juga menzahirkan kesediaan untuk berbincang dengan KKM bagi mencari penyelesaian yang lebih mampan dan berpaksikan kepentingan rakyat.

Terdahulu, cadangan untuk mengambil jururawat dari Indonesia dikemukakan oleh Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Johor Bahru atas alasan membantu menangani kekurangan tenaga kerja dalam sektor perubatan negara ini.