“Cukup Bro, Sangat Cukup” – Sharnaaz Mahu Azad, Nabil & Radin Berhenti Minta Maaf

LocalPolitics
7 Mar 2025 • 9:16 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Sehingga ke hari ini masih lagi hangat isu mengenai tiga penyampai radio Era FM iaitu Azad Jasmin, Nabil Ahmad dan Radin yang didakwa telah mempersenda upacara agama Hindu.

Meskipun mereka bertiga dengan rendah diri dan penuh keikhlasan telah menyusun sepuluh jari memohon kemaafan, tetapi masih ada segelintir pihak yang tidak berpuas hati.

Bahkan, ketiga-tiga penyampai radio itu bersama dua lagi kakitangan Astro Audio juga telahpun digantung tugas buat sementara waktu ini. Manakala Era FM pula, dilaporkan bakal berdepan notis niat gantung lesen yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC).

Namun, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M.Saravanan menyifatkan cadangan menggantung lesen radio Era terlalu keras dan tidak adil, lebih-lebih lagi stesen radio berkenaan telahpun membuat permohonan maaf.

Sharnaaz mahu Nabil, Azad dan Radin berhenti minta maaf

Terbaharu, pelakon Sharnaaz Ahmad meminta tiga sahabatnya iaitu Azad, Nabil dan Radin untuk berhenti membuat permohonan maaf berhubung perkara berkenaan.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik Sharnaaz di akaun Instagram miliknya, dia berkata permohonan maaf dilakukan sudah mencukupi, malah melakukan yang terbaik untuk menebus kesilapan.

“Buat sahabat aku bertiga, berhenti minta maaf! Anda bertiga dah buat yang terbaik. Cukup bro, sangat cukup.

“Jangan melebih ya. Hormat adalah ‘mutual’ (saling bersama). Kami Melayu dan Islam tetap bermaruah! Kami sayang semua, tetapi jangan melampau. Jangan politikkan isu ini,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Sharnaaz titip kata-kata semangat, akui kesilapan dibuat oleh sahabatnya

Sebelum ini, Shaarnaz turut memuat naik satu video menitipkan kata-kata semangat buat Azad, Nabil dan Radin sambil memuji usaha mereka tampil membuat permohonan maaf atas isu yang timbul.

Pelakon ‘Suamiku Encik Sotong’ itu pada masa sama turut tidak menyangkal bahawa apa yang dilakukan oleh sahabat-sahabatnya itu adalah sesuatu yang salah.

“Jangan sesekali kita mempermainkan apa-apa agama pun di Malaysia ini sebab itu bukan budaya orang Malaysia. Kita hormat setiap bangsa yang ada, kita berkawan dengan setiap bangsa yang ada,” katanya.

Menurutnya lagi, orang yang berani mengaku kesilapan mereka wajib diberikan peluang kedua.

Firdaus Wong setuju dengan kenyataan Sharnaaz

Kenyataan yang diberikan oleh Sharnaaz itu turut disokong oleh pendakwah bebas terkenal, Ustaz Firdaus Wong menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya.

“Saya setuju dengan Sharnaaz,” ringkas tulisnya.

Terdahulu, peguam terkenal, Mahmud Jumaat menjelaskan, tarian yang dibuat oleh Azad Jasmin bukankah tarian kavadi seperti yang didakwa segelintir pihak sebaliknya ia adalah ‘Ring Entrance’ yang dibuat oleh atlet Muay Thai, Miki Ghazali.

Beliau menerusi satu hantaran di Facebook berkata, apa yang berlaku hanyalah salah faham selepas meneliti secara mendalam tuduhan berkenaan.

Tegas Mahmud, beliau mempunyai empat sebab mengapa tarian yang dibuat oleh Azad bukanlah tarian kavadi.

Source: