SHAH ALAM - Bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mempersoalkan sama ada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu masih mempunyai kuorum mencukupi untuk bermesyuarat dan membuat keputusan secara sah susulan peletakan jawatan beberapa MPT.
Menurut Ahli Parlimen Beluran itu, kenyataan Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa krisis dalaman parti akan diselesaikan secara dalaman masih belum menjawab persoalan paling asas mengenai keupayaan MPT untuk terus berfungsi dan bermesyuarat secara sah.
Beliau berkata, Fasal 13.12 Perlembagaan Bersatu mensyaratkan kehadiran kuorum melebihi separuh daripada jumlah Ahli MPT bagi membolehkan mesyuarat diadakan.
“Kegagalan membuktikan bahawa syarat kuorum tersebut masih dipenuhi akan menimbulkan persoalan serius terhadap keabsahan setiap keputusan yang dibuat oleh MPT.
“Apabila kuorum tidak lagi mencukupi, Bersatu berdepan risiko berada dalam keadaan tergantung dari sudut pentadbiran, sekali gus tidak mempunyai keupayaan untuk membuat keputusan yang sah menurut Perlembagaan parti,” katanya dalam hantaran Facebook pada Sabtu.
Dalam hantaran sama, Ronald turut memuat naik salinan Perlembagaan Bersatu berkaitan keanggotaan dan syarat kuorum MPT serta senarai 49 pemimpin badan tertinggi parti itu berserta status masing-masing.
Berdasarkan senarai berkenaan, beberapa Ahli MPT ditandakan dengan status dipecat, digantung, keluar parti dan meletakkan jawatan.
Perlembagaan Bersatu yang turut dimuat naik Ronald menerusi Fasal 13.12 menetapkan cukup bilang bagi mesyuarat ialah satu perdua daripada jumlah Ahli MPT.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Bersatu akan meneliti dan menyelesaikan secara dalaman isu peletakan jawatan beberapa Ahli MPT termasuk Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah.
Muhyiddin memaklumkan, beliau akan mendapatkan laporan lengkap berhubung perkara itu sebelum sebarang keputusan atau tindakan diambil.
Dalam pada itu, Ronald berpandangan, peletakan jawatan beberapa ahli MPT merupakan manifestasi jelas bahawa Muhyiddin gagal menguruskan krisis dalaman sehingga kehilangan keyakinan sebahagian besar anggota badan tertinggi parti itu.
Menurutnya, kemelut dalaman parti terbabit amat memalukan dan mungkin hanya boleh diselesaikan dengan campur tangan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).
Tambah beliau, krisis tersebut juga boleh mengganggu kelancaran pentadbiran serta perancangan strategik Perikatan Nasional (PN), khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan datang.
Sehubungan itu, beliau menggesa Majlis Tertinggi PN bermesyuarat segera bagi menilai kedudukan semasa Bersatu dalam gabungan berkenaan dan mempertimbangkan langkah perlu bagi memastikan kestabilan, kredibiliti serta kesiapsiagaan PN tidak terjejas akibat krisis dalaman parti komponennya.
“Kepentingan PN sebagai sebuah gabungan politik yang menjadi harapan jutaan rakyat Malaysia mesti mengatasi kepentingan mana-mana individu.
“Krisis yang berlarutan tanpa penyelesaian hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kemampuan gabungan ini untuk menawarkan kepimpinan yang stabil, berintegriti dan berwibawa,” ujarnya.
Pada Khamis, Abu Bakar dilaporkan melepaskan jawatan sebagai Ahli MPT Bersatu bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran kerajaan negeri yang berbaki kira-kira setahun sebelum tamat penggal.
Selain Abu Bakar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena yang juga Exco kerajaan negeri, Marzita Mansor turut mengambil keputusan sama apabila menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Ahli MPT pada minggu lalu.





