MB Selangor nafi pusat data KL1 Kuala Lumpur punca banjir

LocalEnvironment
14 May 2026 • 3:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: MB Selangor nafi pusat data KL1 Kuala Lumpur punca banjir
Pembangunan pusat data kecerdasan buatan (AI) seperti KL1 Kuala Lumpur milik NEXTDC bukan punca banjir.

PETALING JAYA – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menafikan dakwaan pembinaan pusat data kecerdasan buatan (AI) seperti KL1 Kuala Lumpur milik NEXTDC menjadi punca banjir di kawasan sekitar, sebaliknya menjelaskan fasiliti berkenaan menggunakan sistem kitar semula air dan teknologi penyejukan yang lebih mampan.

Menurut beliau, dakwaan yang mengaitkan pembangunan pusat data dengan masalah banjir adalah tidak tepat kerana fasiliti tersebut beroperasi menggunakan teknologi penyejukan ‘liquid direct-to-chip’ yang beroperasi melalui sistem gelung tertutup, sekali gus tidak bergantung kepada penggunaan air baharu secara berterusan.

"Pusat data moden tidak menggunakan air secara berlebihan seperti tanggapan umum, sebaliknya mengamalkan sistem kitar semula.

"Selangor mempunyai dasar pelepasan sifar, yang menggalakkan syarikat, kilang atau pusat data mempunyai operasi kitar semula atau sistem kitar semula mereka sendiri.

"Jadi, saya fikir dakwaan itu agak palsu dan tidak benar,” katanya pada sidang media selepas perasmian KL1 Kuala Lumpur, di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kebimbangan awam terhadap peningkatan pembangunan pusat data di Selangor yang dikaitkan dengan penggunaan air dan risiko kepada sistem saliran setempat.

Amirudin menjelaskan, siasatan kerajaan negeri mendapati punca utama banjir di kawasan sekitar adalah kelemahan sistem saliran lama yang memerlukan penambahbaikan segera.

Susulan itu, pihak berkuasa tempatan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah diarahkan menaik taraf sistem perparitan bagi melancarkan aliran air ketika hujan lebat.

"Kerajaan negeri juga sedang memperkukuh bekalan air dengan margin simpanan sekitar 18 peratus ketika ini, selain pembangunan Loji Rawatan Air Rasau yang dijangka siap hujung tahun ini dengan kapasiti 350 juta liter sehari.

"Menjelang 2027, kapasiti itu dijangka meningkat kepada 700 juta liter sehari, sebelum menjadi loji rawatan air terbesar di Asia Tenggara menjelang 2029 dengan kapasiti 1,400 juta liter sehari," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Amirudin turut menyentuh isu berkaitan yang dibangkitkan komuniti setempat.

"Sebagai Menteri Besar Selangor, saya juga perlu mengambil kira pandangan rakyat, khususnya berkaitan isu penggunaan air, kestabilan bekalan tenaga elektrik dan potensi pencemaran bunyi kepada komuniti setempat.

"Saya dimaklumkan bahawa pasukan NEXTDC telah mengambil langkah proaktif dalam menangani perkara tersebut berbanding pusat data konvensional, termasuk menggunakan sistem penyejukan udara berbanding kebergantungan utama kepada penyejukan cecair serta memanfaatkan sistem penuaian air hujan," katanya.