Culik, Liwat Dan Dera Remaja, Bekas Pesalah Seks Ditangkap Kali Kedua

18 May 2026 • 3:19 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Culik, Liwat Dan Dera Remaja, Bekas Pesalah Seks Ditangkap Kali Kedua

KUALA LUMPUR - Seorang bekas pesalah seksual sekali lagi dicekup polis, selepas disyaki menculik, mengurung, mendera serta meliwat seorang remaja lelaki di Bukit Kemuning, Shah Alam baru-baru ini.

Insiden terbabit kembali mencetuskan kebimbangan terhadap ancaman pesalah seksual yang cenderung mengulangi jenayah dilakukan, sekali gus mengancam keselamatan orang ramai, khususnya kanak-kanak.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata, suspek berusia 41 tahun itu diberkas dalam serbuan di sebuah bilik sewa di sini pada petang Sabtu.

Menurut beliau, suspek sebelum ini dibebaskan dari penjara pada April tahun lalu, selepas menjalani hukuman penjara selama 18 tahun bagi jenayah seksual.

“Perintah reman pertama akan tamat pada 19 Mei (esok). Sekiranya siasatan masih belum selesai, polis akan memohon lanjutan reman.

“Justeru, beri ruang kepada pihak polis untuk melengkapkan siasatan. Insya-Allah, saya yakin tangkapan ini akan membawa kepada hasil siasatan yang positif,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, suspek ditahan di biliknya kerana lelaki itu bekerja sebagai pengutip hutang dan sering bergerak menggunakan pelbagai jenis pengangkutan awam.

Siasatan awal mendapati, suspek dipercayai bertindak bersendirian dan setakat ini tiada bukti yang menunjukkan wujud mangsa lain.

“Mangsa dipercayai dipilih secara rawak,” katanya.

Laporan terdahulu menyebut, suspek pernah disabitkan dengan kesalahan rogol, kurungan salah serta rompakan terhadap wanita sebelum dijatuhi hukuman penjara pada 2008.

Dalam kejadian dipercayai berlaku 12 Mei lalu, polis menerima maklumat sekitar tengah hari apabila mangsa yang berusia 14 tahun berjaya diselamatkan penduduk setempat, selepas dikurung kira-kira tiga jam di sebuah rumah.

Hasil siasatan, suspek dipercayai memperdaya mangsa dengan berpura-pura menawarkan pakej internet mudah alih sebelum meminta remaja itu membantu membawa beberapa barangan masuk ke dalam rumah berkenaan.

Mangsa kemudian dikurung dan diserang di dalam rumah tersebut sebelum berjaya diselamatkan. – Getaran, 18 Mei 2026