Penjenayah seksual kurung, liwa remaja 14 tahun diberkas

18 May 2026 • 12:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penjenayah seksual kurung, liwa remaja 14 tahun diberkas
Shazeli dalam sidang media di IPK Selangor pada Isnin.

SHAH ALAM - Penjenayah seksual yang diburu selepas mengurung, mengikat dan meliwat remaja lelaki berusia 14 tahun di Seksyen 32 di sini akhirnya berjaya diberkas Sabtu lalu.

Suspek berusia lingkungan 40-an itu ditahan pada waktu petang di sebuah bilik sewa sekitar Kuala Lumpur hasil risikan dan gerakan memburu yang dijalankan pihak polis sejak minggu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, suspek berada di ibu negara dipercayai bekerja sebagai pemungut hutang.

"Namun polis masih menyiasat sama ada suspek ini memiliki lesen sah atau sebaliknya.

"Polis berjaya menahan suspek di bilik sewanya dan kita percaya dia bergerak menggunakan kenderaan pengangkutan awam," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Isnin.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek baru dibebaskan dari penjara pada April tahun lalu.

Katanya, setakat ini tiada laporan diterima membabitkan mangsa lain yang menjadi sasaran terbaharu suspek tersebut.

"Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan dia direman selama tiga hari sehingga Selasa bagi membantu siasatan lanjut.

"Sekiranya siasatan masih belum lengkap, kita akan mohon untuk sambungan tahanan reman," ujarnya.

Ketika ditanya mengapa penjenayah seksual tidak dipasang gelang kaki elektronik (EM) atau peranti pengawasan lokasi, Shazeli memaklumkan perkara itu pernah diajukan sebelum ini.

"Mungkin pernah dibuat beberapa tindakan dan masih lihat keperluan dan kita akan beri cadangan baharu," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang remaja lelaki dikurung, didera termasuk dipercayai diliwat lelaki tidak dikenali di sebuah pangsapuri di Bukit Kemuning di sini pada 12 Mei lalu.

Siasatan awal polis mendapati suspek memperdaya mangsa dengan mengajak remaja itu berbual dengan menawarkan satu pakej internet telefon bimbit, dengan syarat mangsa membantu mengangkat barang dalam rumah suspek.