Curi kabel pakai baju logo TM: Lima termasuk tiga wanita didenda RM5,000

LocalPolitics
3 Mar 2026 • 4:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tiga wanita didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam pada Selasa berhubung kes curi kabel TM. Foto Sinar Harian, ROSLI TALIB
image is not available
Lima termasuk tiga wanita dihadapkan ke mahkamah pada Selasa.

SHAH ALAM – Seramai dua lelaki dan tiga wanita yang tular dalam kes curi kabel dengan memakai baju berlogo Telekom Malaysia (TM) didenda antara RM250 hingga RM5,000 oleh dua Mahkamah Majistret berasingan di sini pada Selasa.

Tiga wanita itu ialah Nurul Aleeya Aneesya Abd Razak, 23; Nur Allysa Natasha Nor Azlan, 22 dan Nur Shasha Nabila Zamani, 28, sementara dua lagi lelaki, Mohammed Arif Sharif, 25, serta Mohamad Ridzwan Zainol Abidin, 26.

Bagi pertuduhan di hadapan Majistret, Wan Noora Nisa Ngadirin, tiga wanita itu didakwa mencuri kabel milik TM di Seksyen 3, jam 5 pagi 20 Februari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Mereka yang mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan, didenda RM5,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayarnya.

Dua tertuduh lelaki itu pula dituduh bersama-sama memiliki alat-alat kegiatan mencuri di Seksyen 7 di sini, pada jam12.08 tengah malam, 1 Mac lalu.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda tidak melebihi RM250 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 28 (i) (ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Susulan itu, Mohammed Arif dan Mohamad Ridzwan yang mengaku bersalah atas kes itu, didenda RM250 atau dua bulan penjara.

Sementara itu, di hadapan, Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman, dua tertuduh lelaki berkenaan mengaku bersalah atas satu pertuduhan bersama-sama mencuri soket dan kabel di rumah peti, milik TM.

Kesalahan didakwa dilakukan pada jam 12.08 tengah malam, 1 Mac lalu dan mereka didakwa mengikut seksyen serupa.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan tarikh jatuh hukum pada 28 April depan dan membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amirah Zahari, Muaz Khawarizmi Azfar dan Nurul Akhilah Rosmi.

Pembelaan pula diwakili peguam, Muhamad Saifullah Muhamad Azmi dan Amirah Nashaida daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan di sini, dua lelaki mengaku bersalah atas satu pertuduhan menghapuskan harta curi iaitu kabel TM, minggu lalu.

Pengurus kedai besi buruk, L Kelemen, 40, dan pemandu lori, N Tharumaraaj, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Ameera Mastura Khamis.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa sengaja menolong menghapuskan harta curi iaitu kabel Telekom Malaysia, di Persiaran Pulai Timur 8 Chandan Desa, Kampung Kepayang, Ipoh, Perak pada jam 3 petang 26 Februari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Akhilah Rosmi memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk fakta kes dan hukuman.

Beliau kemudiannya mencadangkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam M Partiben yang mewakili kedua-dua lelaki itu merayu mahkamah mengurangkan kadar jaminan kerana Kelemen yang telah berkahwin turut mempunyai mempunyai penyakit tekanan darah selain perlu menyara ibu yang uzur.

“Tharumaraaj pula, perlu menyara keluarga termasuk tiga anak berusia 12, lapan dan lima tahun.

“Jaminan yang dicadangkan pihak pendakwaan jelas di luar kemampuan kedua-dua tertuduh dan keluarga mereka,” katanya.

**media[3451539]**

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Ameera Mastura membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Mei depan untuk fakta kes termasuk jatuh hukum.

Pada 2 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan, helah geng curi kabel yang menggunakan kelengkapan penyamaran serta pakaian berlogo Telekom Malaysia (TM) bersama pelbagai peralatan terbongkar selepas sembilan individu diberkas pihak polis.

Serbuan Op Kabel Viral pada 23 dan 26 Februari lalu itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan pasukan khas Balai Seksyen 6 serta IPD Kuala Muda, Kedah hasil maklumat dan risikan.