
LAHAD DATU: Lima individu termasuk tiga kanak-kanak cedera ringan dalam kemalangan membabitkan sebuah Toyota Hilux dan Perodua Aruz di Jalan Segama pada Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah Sumsoa Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.57 petang.
“Seramai sembilan anggota bersama sebuah jentera dan kenderaan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan terbabit.
“Setibanya di lokasi komander operasi melaporkan bahawa terdapat sebuah Toyota Hilux bertembung secara berdepan dengan sebuah Perodua Aruz yang membabitkan tujuh mangsa keseluruhannya.
“Kesemua mangsa berjaya keluar sendiri dari kenderaan masing-masing sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Lima mangsa yang terdiri daripada seorang wanita dan dua kanak-kanak dari Perodua Aruz serta seorang wanita dan kanak-kanak perempuan dari Toyota Hilux mengalami kecederaan ringan dalam kejadian itu,” katanya.
Menurut beliau pasukan bomba bertugas kemudiannya memberikan rawatan awal sebelum semua mangsa dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Operasi ditamatkan pada jam 4.05 petang selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.


