Cuti Sekolah: Ramainya Bercuti Ke Thailand

LocalTravel
14 Sep 2025 • 6:00 PM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Sempadan Malaysia-Thailand sesak teruk!

Memetik laporan Kosmo, seramai 17,030 rakyat di negara ini direkodkan ke negara jiran itu sempena musim cuti sekolah dan cuti umum Hari Malaysia, sejak semalam.

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M. Nasir berkata, daripada jumlah itu, seramai 15,718 adalah rakyat Malaysia diikuti 975 warga Thailand, Indonesia (85), China (50), India (22) dan negara lain (180).

Katanya, bagi laluan masuk ke Malaysia pula merekodkan seramai 4,941 orang terdiri daripada 3,011 rakyat Malaysia, Thailand (1,567), Indonesia (171), China (29), India (13) dan negara lain (150).

“Jumlah keseluruhan pengembara yang keluar masuk melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada semalam adalah seramai 21,971 orang,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kawasan sempadan ini mengalami kesesakan luar biasa di laluan kenderaan persendirian menghala ke Thailand akibat limpahan kenderaan yang mahu berkunjung ke negara jiran khususnya sempena musim cuti persekolahan dan sambutan Hari Malaysia.

Kita menjangkakan keadaan ini akan berterusan sehingga 21 September berikutan cuti sekolah yang panjang,” ujarnya.

Susulan itu, katanya, anggota dan pegawai Pasukan Tindak Pantas (QRT) serta pegawai bertugas diaktifkan bagi mengawal aliran trafik di kawasan ICQS.