![“Cyber Attack Dah Singgah WhatsApp” – Orang Ramai Diingatkan Jangan Tekan Link Atau Buka Fail ZIP Mencurigakan [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/11/Cyber-Attack-Dah-Singgah-WhatsApp-Malaysia-Orang-Ramai-Diingatkan-Jangan-Tekan-Link-Mencurigakan.jpg)
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pada Selasa (3 November) lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta orang ramai supaya berwaspada susulan kedudukan Malaysia yang berpotensi menjadi sasaran serangan siber.
Namun begitu, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya tidak cepat berasa panik.
Pada masa sama, Anwar turut memberi jaminan bahawa keselamatan siber dan ekonomi digital negara berada dalam keadaan terkawal, di bawah penyelarasan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).
Ramai Pengguna WhatsApp Terima Fail Mencurigakan Dalam Format ZIP
Bagaimanapun semalam (4 November), ramai netizen di laman Threads berkongsi bahawa mereka kerap mendapat panggilan dan mesej mencurigakan daripada individu tidak dikenali.
Bukan itu sahaja, ramai pengguna turut melaporkan menerima dokumen dalam format ZIP. Rata-rata mendakwa fail berkenaan berpotensi menjadi ancaman siber kerana boleh menyebabkan peranti dijangkiti virus sekiranya dimuat turun.
Justeru, orang ramai diingatkan untuk sentiasa berhati-hati dan semak semula dokumen diterima sebelum membuat tindakan selanjutnya. Jangan terus download!
“Serangan siber dah singgah ke pengguna WhatsApp di Malaysia. Jangan click. Verify dulu dengan member tu (jika terima dokumen dari kenalan).
“Walaupun dia kawan baik kita. Sentiasa tanya dulu sebelum muat turun dan buka.
“Sekali kau buka, virus ni akan merebak ke akaun korang dan dia akan hantar fail ni kepada kenalan pula guna akaun korang,” kata pengendali akaun Threads pelabur_bijak.
View on Threads
View on Threads
Pengguna Turut Terima Notifikasi Authorisation Untuk Transaksi Di Luar Negara
Selain menerima mesej di WhatsApp, ramai juga mendakwa terdapat transaksi mencurigakan dari luar negara yang berlaku pada akaun bank masing-masing sekaligus menyebabkan mereka terpaksa menghubungi pihak bank untuk menyekat akaun berkenaan.
Seorang pengguna Threads dikenali sebagai Harith berkongsi dia telah menerima notifikasi pengesahan (authorisation) daripada Mesir menerusi aplikasi MAE, Maybank.
“Weh ni kira serangan siber juga ke? Kenapa orang Mesir rasa aku banyak duit ,” katanya.
View on Threads
Seorang individu berkata, sekiranya ia disahkan secara automatik, segera hubungi pihak bank dan melaporkan perkara tersebut.
MKN Turut Beri Amaran Attachment Mencurigakan Di WhatsApp
Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (MCMC) sebelum ini turut memberi amaran tentang bahaya fail ZIP atau sebarang lampiran atau pautan mencurigakan.
“Berwaspada dengan fail ZIP, lampiran atau pautan mencurigakan yang diterima melalui WhatsApp. Jangan buka fail yang tidak dikenali dan sahkan dengan pengirim melalui saluran komunikasi yang dipercayai,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut MCMC, penipu mungkin menyamar sebagai individu yang dikenali atau pihak yang dipercayai dan menghantar mesej yang mengandungi fail atau pautan dengan alasan untuk semakan atau tindakan lanjut. Fail ZIP tersebut mungkin mengandungi perisian hasad (malware) yang boleh membahayakan peranti jika fail itu dibuka.
Peranti atau akaun yang terjejas berpotensi terdedah kepada risiko keselamatan berikut:
- Jangkitan peranti oleh perisian hasad;
- Kebocoran maklumat peribadi yang berkaitan dengan akaun;
- Akses tanpa kebenaran kepada akaun WhatsApp atau peranti;
- Pengambilalihan akaun atau kehilangan kawalan terhadap akaun;
- Penyalahgunaan akaun WhatsApp yang terjejas bagi tujuan penipuan atau aktiviti berniat jahat.
Tindakan yang Perlu Diambil oleh Pengguna:
- Tidak membuka fail ZIP, lampiran atau pautan yang diterima melalui WhatsApp daripada sumber yang tidak dikenali;
- Mengesahkan dengan pengirim melalui saluran komunikasi yang dipercayai sebelum membuka sebarang fail atau pautan;
- Tidak memuat turun, mengekstrak atau melaksanakan fail yang mencurigakan;
- Mengaktifkan ciri Pengesahan Dua Langkah atau (Two-Step Verification) pada akaun WhatsApp bagi meningkatkan keselamatan akaun;
- Tidak berkongsi kod pengesahan WhatsApp atau PIN/kata laluan keselamatan dengan mana-mana pihak;
- Menyemak senarai Peranti Dipautkan (Linked Devices) secara berkala dan mengalih keluar sebarang peranti yang tidak dikenali;
- Memastikan sistem pengendalian, aplikasi dan perisian keselamatan sentiasa dikemas kini;
- Sekiranya fail mencurigakan telah dijalankan dan peranti disyaki terjejas, putuskan sambungan internet, jalankan imbasan keselamatan dan tukar kata laluan yang berkaitan menggunakan peranti lain yang dipercayai;
- Memaklumkan kepada kenalan dengan segera sekiranya akaun WhatsApp disyaki telah terjejas bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa penipuan.
Dua Faktor Besar Malaysia Berpotensi Jadi Sasaran Serangan Siber
Sebelum ini, Anwar Ibrahim menerusi perbahasan di Dewan Rakyat mendedahkan dua faktor mengapa Malaysia berpotensi menjadi sasaran siber, konflik geopolitik dan ketegangan keselamatan serantau: Antaranya:
- Pangkalan digital dan pusat data Malaysia adalah antara terkuat dan mampu menyaingi Eropah.
- Pendirian Malaysia dalam beberapa isu yang dianggap kontroversi oleh sesetengah negara terutama Eropah dan Amerika Syarikat, khususnya soal Palestin serta Gaza.
Penggodam Ceroboh Sistem Daftar Penduduk Pusat & Jejaskan Rekod ID Nasional Hampir 9 Juta Orang – Anwar Ibrahim
Dalam pada itu, Anwar juga mendedahkan bagaimana serangan siber ini telah memberi impak negatif kepada negara luar sehingga mampu menggugat pentabiran negara.
“Di Belgium, serangan siber memaksa Kementerian Kewangan menutup sepenuhnya portal cukai nasionalnya.
“Di Denmark, penggodam menceroboh daftar penduduk pusat dan menjejaskan rekod ID nasional hampir 9 juta orang.
“Di Amerika Syarikat, sistem pemfailan suruhanjaya pilihan raya Persekutuan terhenti selama 41 jam tepat sebelum penggundian Dewan Senat yang baru.
“Di Jepun, pencerobohan siber menembusi rangkaian kerajaan dan mendedahkan rekod peribadi lebih daripada 100,000 anggota polis menyebabkan pelaksanaan tugas polis di beberapa daerah terjejas,” dedah beliau.
Tambah Menteri Kewangan tersebut, kerajaan kini masih memantau apakah perkembangan lain berhubung perkara terbabit termasuklah persoalan adakah ancaman keselamatan yang berlaku di Eropah juga boleh menjejaskan keselamatan rakyat dan kestabilan ekonomi di Malaysia.


