D’Masiv gegar Sandakan 18 Oktober

TravelMusic
9 Oct 2026 • 5:04 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

D’Masiv gegar Sandakan 18 Oktober

KUMPULAN terkenal Indonesia, D’Masiv (gambar) bakal menemui penggemarnya di Sabah menerusi konsert D’Masiv Live in Sabah Tour 2026 di Kompleks Sukan Sandakan pada 18 Oktober ini.

Dianjurkan The Elopura Hotel, bandar Sandakan merupakan lokasi kedua konsert itu selepas penganjuran di Kota Kinabalu pada 16 Oktober.

Penganjur konsert dalam satu kenyataan media pada Khamis menyatakan konsert terbabit dilihat menjadi antara acara muzik berskala antarabangsa yang terbesar pernah diadakan di Sandakan sekaligus membuka ruang baharu kepada bandar terbabit untuk dikenali sebagai antara destinasi acara, hiburan dan pelancongan di Sabah.

“Penganjuran konsert berkenaan turut menjadi platform untuk menjalinkan kerjasama antara bakat muzik tempatan dengan artis Indonesia.

“Melalui penglibatan pemuzik, penyanyi, penggiat seni dan tenaga kerja kreatif tempatan, acara ini diharapkan dapat membuka peluang kepada anak-anak muda Sandakan untuk mendapatkan pengalaman mengendalikan serta menyertai produksi muzik berskala lebih besar.

“Kerjasama sebegini juga berpotensi menjadi jambatan kepada pertukaran idea, pengalaman serta jaringan industri antara penggiat seni Sabah dan Indonesia,” katanya.

Tambah penganjur konsert terbabit diharapkan dapat membuktikan bahawa Sandakan mempunyai keupayaan untuk penganjuran acara berskala besar serta menyediakan ruang kepada industri acara tempatan untuk berkembang.

Menurut penganjur konsert sama juga diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak penganjuran acara kebudayaan, muzik dan hiburan bertaraf nasional serta antarabangsa pada masa akan datang.

Terdahulu Konsert D’Masiv dijangka memberikan limpahan positif kepada sektor pelancongan Sandakan khususnya dengan sasaran menarik pengunjung dari Indonesia, Brunei dan negeri lain di Malaysia.

Kehadiran pengunjung luar bukan sahaja tertumpu kepada acara konsert malah berpotensi meningkatkan permintaan terhadap hotel, restoran, pengangkutan, pusat membeli-belah, produk pelancongan serta tarikan-tarikan tempatan.

Sementara itu penganjur menyatakan salah satu komponen penting dalam penganjuran acara ini ialah peluang yang diberikan kepada peniaga dan usahawan tempatan.

“Sebagai sebahagian daripada program sokongan kepada komuniti perniagaan setempat, ruang booth jualan juga disediakan bermula dari 16 hingga 18 Oktober bagi membolehkan peniaga tempatan mempromosikan serta menjual produk dan perkhidmatan mereka kepada pengunjung.

“Peluang ini dijangka memberi manfaat kepada pelbagai kategori perniagaan termasuk makanan dan minuman, produk tempatan, kraftangan, fesyen, cenderamata serta perkhidmatan berkaitan pelancongan,” ujarnya.

Sementara itu selain aspek hiburan dan ekonomi, konsert D’Masiv Live in Sabah Tour 2026  turut membawa mesej persahabatan serta hubungan budaya antara Malaysia dan Indonesia.

Ujarnya muzik mempunyai keupayaan untuk merentasi sempadan bahasa, geografi dan budaya.

D’Masiv merupakan kumpulan muzik pop-rock Indonesia yang ditubuhkan pada 3 Mac 2003 dan berasal dari Ciledug, Jakarta.

Kumpulan ini dianggotai Rian Ekky Pradipta (vokal), Dwiki Aditya Marsall (gitar), Nurul Damar Ramadan (gitar), Rayyi Kurniawan Iskandar Dinata (bass) dan Wahyu Piadji (drum).

Nama D’Masiv mula mendapat perhatian luas menerusi album sulung mereka Perubahan yang diterbitkan pada 2008.

Sepanjang lebih dua dekad perjalanan muzik mereka, D’Masiv telah menghasilkan pelbagai lagu popular yang dekat di hati peminat antaranya Cinta Ini Membunuhku, Merindukanmu, Jangan Menyerah, Diantara Kalian, Diam Tanpa Kata dan Cinta Sampai Disini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved