D’Masiv himpun 3,000 peminat di Kota Kinabalu, Sandakan

LocalMusic
21 Oct 2026 • 5:07 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

D’Masiv himpun 3,000 peminat di Kota Kinabalu, Sandakan

KUMPULAN popular Indonesia D’Masiv menyifatkan sambutan peminat di Sabah sebagai luar biasa menerusi dua konsert mereka di Kota Kinabalu dan Sandakan baru-baru ini.

Vokalisnya Rian Ekky Pradipta berkata persembahan di Sandakan menerusi D’Masiv Xplosive Tour Sabah yang juga persembahan pertama mereka di bandar ini turut memberikan keterujaan tersendiri kepada anggota kumpulan berkenaan.

Menurutnya D’Masiv juga sebelum ini pernah membuat persembahan di Kota Kinabalu sekitar tahun 2019 dan kedua pada 16 Oktober lalu manakala peluang untuk bertemu peminat di Sandakan menjadi antara  pengalaman baharu yang dinanti-nantikan mereka.

“Pastinya kami sangat teruja kerana ini kali pertama kami datang ke Sandakan.

“Kami sudah mempersiapkan banyak lagu khas buat peminat di sini dan memberikan persembahan dengan tenaga penuh supaya mereka pulang dengan gembira.” Jelasnya.

Tambahnya D’Masiv mahu peminat meluahkan segala perasaan dan luahan hati menerusi lagu-lagu yang dibawakan pada konsert itu.

Siri konsert anjuran The Elopura Hotel, Sandakan itu menyaksikan kira-kira 1,300 peminat menghadiri persembahan D’Masiv Xplosive Tour Sabah edisi Kota Kinabalu di Grand Ballroom, The Magellan Sutera Resort.

Manakala sekitar 1,700 peminat membanjiri konsert mereka di Kompleks Sukan Sandakan.

“Kami sangat senang sekali melihat peminat di Sabah menyanyikan lagu-lagu kami dari awal hingga akhir persembahan termasuk beberapa lagu baharu.

“Kami juga berharap dapat kembali ke Sabah untuk membuat persembahan di lokasi lain seperti Tawau dan daerah lain jika di panggil lagi membuat persembahan ke sini,” jelasnya.

Pada malam galau di Sandakan, tidak menghampakan peminat yang hadir, Rian turut turun dari pentas utama bertemu di antara ribuan hadirin di Kompleks Sukan Sandakan.

Peminat juga dilihat sangat terhibur dengan persembahan bertenaga Rian bersama barisan kumpulannya itu yang menyanyikan lebih 14 buah lagu selama hampir dua jam.

Antara lagu yang menggegarkan suasana konsert termasuk Cinta Ini Membunuhku, Merindukanmu dan Jangan Menyerah selain lagu baharu Till We’re Old yang turut mendapat perhatian peminat.

Dalam pada itu dalam perancangan awal jelasnya kumpulan itu juga berhasrat untuk membuat lagu atau kolaborasi bersama penyanyi Malaysia dan mungkin dari Sabah sendiri tetapi ia belum dapat di umumkan lagi sehingga projek itu di muktamad kan kelak.

Rian berkata Malaysia juga merupakan negara kedua tertinggi yang mendengar lagu-lagu D’Masiv di Spotify selepas Indonesia.

Ia sekaligus membuktikan kumpulan itu mempunyai kelompok peminat yang besar di luar negara asal mereka.

Manakala lagu Di Bawah Langit Yang Sama yang menjadi runut bunyi filem animasi BoBoiBoy juga mencatat peningkatan aliran penstriman dalam tempoh sebulan kebelakangan ini sehingga melepasi 10 juta penstriman di Spotify.

Perkembangan ini sudah pasti memberikan semangat kepada D’Masiv untuk terus mengukuhkan kedudukan dalam pasaran muzik Malaysia termasuk meneroka peluang kolaborasi bersama artis tempatan.

Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Datuk Walter Kenson berkata penganjuran konsert berskala besar seperti itu berpotensi menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi setempat khususnya dalam sektor pelancongan dan perniagaan kecil.

Jelasnya kehadiran artis antarabangsa bukan sahaja menarik peminat dari pelbagai kawasan malah membuka peluang kepada peniaga dan penjaja tempatan menjana pendapatan melalui penjualan makanan, minuman, kraftangan serta cenderamata.

Beliau berkata usaha pengerusi penganjur program yang juga pemilik The Elopura Hotel Datuk Md Afendi Hamdan untuk membawa artis antarabangsa ke Sandakan sebagai satu usaha melonjak ekonomi setempat dan pelancongan.

Menurutnya berharap program seumpama juga dapat dipertimbangkan sebagai acara tahunan dalam kalendar pelancongan Sandakan tertakluk kepada persetujuan pihak penganjur.

Sementara itu Afendi berkata pemilihan D’Masiv dibuat berdasarkan analisis data pendengar dan populariti lagu kumpulan itu selain potensi konsert berkenaan menarik pengunjung dari luar Sandakan.

Beliau menyatakan penganjuran acara muzik bukan sekadar menyediakan hiburan kepada peminat malah berpotensi menjadi produk pelancongan yang memberi limpahan ekonomi kepada hotel, peniaga dan sektor perkhidmatan tempatan.

Pada masa yang sama  pihaknya melihat konsert itu sebagai satu tarikan pelancongan yang boleh membawa pengunjung dari Indonesia, Brunei dan daerah lain ke Sandakan.

Beliau melihat dua persembahan yang menghimpunkan kira-kira 3,000 peminat itu memperlihatkan potensi Sabah sebagai destinasi penganjuran acara muzik serantau, selain mengukuhkan hubungan budaya antara Malaysia dan Indonesia menerusi muzik.

Jelasmya penganjuran D’Masiv Xplosive Tour Sabah juga diharap dapat membuka ruang kepada lebih banyak acara hiburan berskala besar pada masa hadapan, sekali gus memberikan manfaat berterusan kepada industri pelancongan dan ekonomi komuniti setempat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved